Lego Ideas hasilkan model skala 1:13 Toyota Corolla AE86 Trueno!

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Siapa yang tidak kenal watak Fujiwara Takumi, seorang yang blur dan tidak begitu meminati kereta akan tetapi memiliki skil pemanduan menyenget yang sangat mengkagumkan ramai pelumba jalanan di Jepun.

Dengan kereta biasa Toyota Corolla AE86 Trueno, siri animasi Initial D ini terus menerus melonjakkan populariti kereta generasi akhir Corolla dengan sistem pacuan roda belakang. 

Malah, harga jualan di pasaran terpakai juga kini semakin mengarut untuk sebuah model yang dihasilkan pada tahun 1980-an. 
 


Untuk mereka yang tidak mahukan harga yang mengarut mencarut akan tetapi masih mahukan model tersebut untuk disimpan, Lego ada jawapannya.

Menerusi laman web Lego Ideas, mereka menghasilkan sebuah model berskala 1:13 Toyota Corolla Sprinter AE86 Trueno dengan perincian yang sangat menarik. 

Walaupun ia dibina daripada Lego, model skala AE86 ini mempunyai pintu yang boleh dibuka, cermin sisi yang boleh dilipat, lampu retractable yang berfungsi serta model enjin 4A-GE!
 


Selain daripada itu, tempat duduk juga boleh dilipat dan di bahagian ruang penstoran tofu, terdapat tayar simpanan yang diletakkan di ruang sepatutnya. 

Model skala ini masih di dalam fasa rekaan, namun sekiranya anda menunjukkan minat terhadap model pengedar tofu ini, anda boleh terus ke laman web Lego Ideas untuk mengundi model ini supaya direalisasikan oleh Lego. 

Sudah tentu anda faham harganya juga akan jadi lebih  mengarut sekiranya ia dipasarkan...
 


Sambil anda mengundi dan mendaftarkan minat di laman Lego Ideas, jangan lupa mainkan lagu Eurobeat kegemaran anda!