Lebuh raya dijangka sesak hujung minggu ini!

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kira-kira 1.9 juta kenderaan dijangka keluar dari Lembah Klang apabila warga kota pulang ke kampung masing-masing sempena cuti minggu pertama Ramadan.


Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Malaysia Berhad (Plus), Mohd Yusof Aziz berkata, pihaknya menjangkakan aliran trafik di kedua-dua arah Lebuhraya Utara Selatan meningkat 1.9 juta berbanding 1.7 juta pada hari biasa.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Menurutnya, faktor peningkatan aliran trafik itu dipengaruhi warga kota yang mengambil kesempatan pulang ke kampung sempena minggu pertama Ramadan serta minggu gaji.

 

"Kami jangkakan aliran trafik hujung minggu ini akan sedikit meningkat mulai petang ini.

"Buat masa ini keadaan masih terkawal, namun mengikut kebiasaan, aliran trafik dari Lembah Klang akan sesak petang Jumaat hingga ke awal pagi esok.

 

"Ketika warga kota kembali ke Kuala Lumpur pula, kesesakan dijangka berlaku mulai pagi ke tengah hari Sabtu, manakala Ahad selepas tengah hari," katanya kepada Harian Metro.

 

Menurutnya, semua kakitangan termasuk PlusRonda sentiasa bersiap sedia dan beroperasi pada tahap optimum bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.

 

"Untuk hujung minggu ini tiada sebarang kerja penutupan jalan kecuali jika berlaku kecemasan.

 

"Orang ramai juga dinasihatkan merancang perjalanan dengan mendapatkan info trafik terkini melalui medium rasmi Plus di Twitter, Putri via Plusapp atau menghubungi talian Pusat Traffik Plus.

 

"Pastikan baki kad dan e-wallet mencukupi serta memandu memandu dengan berhemah supaya selamat tiba di destinasi masing-masing," katanya.

 

Rabu lalu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia mula berpuasa mulai Khamis.