Lebih 600 tempahan untuk naiki feri ke Langkawi Khamis ini

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Perlis ditambah satu lagi menjadikan tiga feri beroperasi pada hari permulaan gelembung pelancongan Khamis ini.


Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kepten Baharin Baharom, berkata ini berikutan jumlah penumpang feri yang sudah membuat tempahan setakat ini seramai 619 orang.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Beliau berkata, trip perjalanan itu membabitkan jadual bermula jam 9.30 pagi, 10.30 pagi dan 11.30 pagi Khamis ini.

 

"Bagaimanapun kami akan memantau pergerakan jumlah pelancong dan sekiranya perlu ada penambahan, kita akan tambah lagi feri bergantung pada keperluan untuk mencapai 50 peratus pelancong ke pulau itu.

 

"Namun Terminal Feri Kuala Kedah masih ditutup lagi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah yang bermula sejak 6 September lalu," katanya kepada BH, hari ini.

 

Sebelum ini, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bermula 16 September ini, Langkawi boleh dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara, termasuk negeri yang berada di Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

Baharin berkata, pihaknya dimaklumkan hanya pelancong dari Kedah dan Perlis perlu menunjukkan sijil digital dua dos suntikan vaksin kepada petugas di terminal sebelum dibenarkan menaiki feri.

 

Bagaimanapun, katanya, pelancong yang datang dari negeri lain perlu mengemukakan bersama surat kebenaran polis seperti ditetapkan sebelum ini.

 

gambar hiasan

 

"Setakat ini kita sudah bersedia menerima kehadiran pelancong di Terminal Feri Kuala Perlis, selain meletakkan ramai petugas bagi memastikan penumpang feri mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

 

"Kami sudah memasang penanda supaya penumpang tidak bersesak di terminal feri dan berada pada jarak satu meter antara satu sama lain, manakala kanak-kanak pula perlu diawasi keluarga masing-masing," katanya.

 

Baharin berkata, semua kru feri dan petugas di terminal berkenaan sudah lengkap menerima suntikan dua dos vaksin sejak Mac lalu.

 

Katanya, selain itu sebahagian feri yang sebelum ini tidak beroperasi dibersihkan akibat teritip yang penuh di bahagian feri berkenaan.

 

"Perkhidmatan feri dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis juga ditambah sebanyak tiga buah bagi membolehkan pelancong pulang ke tanah besar nanti.

 

"Saya berharap semua pelancong yang ingin melakukan perjalanan ke Langkawi menggunakan perkhidmatan feri perlu mematuhi SOP ditetapkan dan wajib memakai pelitup muka bagi mengelak penularan jangkitan.

 

"Diharapkan semua penumpang datang awal sebelum waktu perjalanan feri mengikut tempahan dibuat bagi mengelak kesesakan berlaku di terminal feri," katanya.

 

 

Berita Harian

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Bapa saudara kanak-kanak itu yang berusia 25 tahun menerima rawatan di zon merah hospital sama…
Berita Domestik
Menurut laporan Berita Harian, dalam kejadian jam 2.40 petang, pesawat  jenis Beechcraft Model 390…
Berita Domestik
Menurut Harian Metro, kereta mewah itu sedang dicari dalam operasi khas SPRM yang dijalankan…