Lebih 50,000 kereta tenggelam banjir dijangka terus tersadai

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Dianggarkan lebih 50,000 kereta yang tenggelam dalam banjir di lapan negeri terutama Selangor dan Pahang sejak beberapa hari lalu dijangka terus tersadai.


Situasi itu dilihat tidak mustahil berlaku ekoran kos baik pulih sahaja dianggar mencecah antara RM10,000 sehingga RM20,000 bagi sebuah kereta sedangkan pada masa sama mangsa banjir turut kehilangan harta benda lain termasuk rumah yang musnah.

 

Menurut Penasihat Teknikal Automotif, Datuk Ir. Mohamad Dalib, kos tersebut meliputi baik pulih enjin, unit kawalan elektronik (ECU) kenderaan dan kerja-kerja pembersihan.

 

Malah katanya, kos tersebut dijangka lebih tinggi apabila membabitkan kenderaan import dan alat ganti baharu.

 

“Jika pemilik mahu menggunakan alat ganti terpakai harga mungkin murah sedikit tetapi masalahnya tiada jaminan.

 

“Selain itu, pemilik perlu memikirkan kos lain yang berkaitan seperti kos membawa kenderaan ke bengkel dan cucian yang dianggarkan kos RM600 bagi sebuah kenderaan bergantung kepada saiz,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

 

gambar hiasan

 

Banjir besar Sabtu lalu di Selangor terutama di Klang, Hulu Langat, Shah Alam, Dengkil dan Sepang selain Pahang sehingga mengakibatkan lebih 30,000 individu terpaksa dipindahkan ke 162 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daripada lapan negeri baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, menurut jurucakap pusat servis Honda memberitahu, kos baik pulih bagi kenderaan rosak akibat banjir dianggar antara RM15,000 sehingga RM20,000.

 

Mercedes Benz turut memberi diskaun kepada pemilik kenderaan jenama tersebut sebanyak 30 peratus untuk tukaran alat ganti.

 

Dalam pada itu, seorang mangsa di Negeri Sembilan Nor Adilla Muhamad Yunos, 23, dia mungkin terpaksa membelanjakan kira-kira RM4,000 bai membaiki kereta Kelisanya yang sudah berusia lebih 10 tahun selepas ditenggelami banjir baru-baru ini.

 

Dia juga perlu menanggung sendiri segala kos bagi membaiki keretanya kerana tidak mempunyai perlindungan insurans.

 

“Saya mengambil keputusan untuk membaiki kereta ini kerana mempunyai nilai sentimental lebih-lebih lagi diwarisi daripada ibu saya,” jelasnya.

 

 

– UTUSAN ONLINE