Sehingga kini, 216 buah stesen minyak Shell kini berkuasa solar, dengan jumlah sebanyak 22,505 kepingan panel photovoltaic (PV) dan kapasiti 10.12 megawatt (MW) sebagai sebahagian daripada usaha dan komitmen dalam mengurangkan pelepasan karbon, selain mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal kuasa elektrik tempatan.
Menurut Shell, panel solar yang dipasang pada stesen Shell itu mampu menjana tenaga elektrik 12,939 MWh yang cukup untuk membekalkan kuasa kepada kira-kria 3,740 isi rumah selama satu tahun.
Menurut Seow Lee Ming, Pengurus Besar Mobility Shell berkata, "Matlamat kami adalah untuk memudahkan peralihan ke arah masa depan karbon rendah dalam operasi syarikat.
"Setakat ini, kami telah memasang panel solar di 216 buah stesen, dan ia dijangka meningkat kepada 350 buah stesen menjelang akhir tahun ini.
Sehingga kini, Shell telah menerima persijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) untuk lima buah stesen termasuk Shell Taman Connaught, Shell Damansara Jaya, Shell Mint Hotel, Shell Tangkak Layby, dan Shell Alor Pongsu.
Seiring dengan matlamat dunia, Kumpulan Shell menetapkan sasaran untuk menjadi perniagaan tenaga dengan pelepasan sifar bersih menjelang 2050.