Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan menerusi sekatan jalan raya dan rondaan dilakukan berterusan di seluruh negeri dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan 85 anggota.
"Setakat ini lebih 100 motosikal ditahan dan saman akan dikeluarkan mengikut kesalahan. Bagi motosikal yang disita, pemilik perlu mengubah keadaan struktur kenderaan kepada asal kerana sebahagian besar yang disita merupakan kenderaan yang diubahsuai.
“Operasi akan diteruskan sehingga tamat program dan kita percaya selepas ini lebih banyak motosikal akan ditahan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Jelas beliau, operasi itu digerakkan susulan aduan orang ramai berikutan tindakan segelintir peserta himpunan yang menunggang motosikal secara berbahaya dan berlumba.
Katanya, keadaan itu menimbulkan suasana bingit dan tidak selesa kepada penduduk khususnya yang tinggal berhampiran jalan.
Dalam pada itu, Mazli berkata, peserta himpunan Yamaha RXZ Members 5.0 perlu mematuhi undang-undang jalan raya supaya tidak mengganggu ketenteraman awam.
Beliau berkata, Terengganu bukan lokasi untuk merempit dan pihaknya berharap peserta dapat mematuhi syarat dan undang-undang bagi mengelak kejadian tidak diingini.
"Kita menyokong program berkenaan namun pada masa sama mereka perlu mematuhi arahan yang ditetapkan.
“Kita percaya ada peserta datang ke program berkenaan menggunakan laluan tikus menyebabkan mereka ‘terlepas’ daripada sekatan. Apabila berkumpul baru kita nampak banyak motosikal yang tidak lengkap dan diubah suai,” ujarnya.