Lebarkan lebuhraya? Fokus pengangkutan awam terlebih dahulu! - Pakar

oleh Mohamad Hanif|
Idea untuk melebarkan jalan dan lebuhraya bagi mengurangkan kesesakan mungkin tidak begitu ideal terutama di musim cuti sekolah dan musim perayaan.

Menurut pakar kejuruteraan trafik, Dr. Law Teik Hua berkata, daripada usaha untuk melebarkan jalan dan lebuhraya, adalah lebih baik sekiranya pihak berwajib memfokuskan kepada naik taraf sistem pengangkutan awam terlebih dahulu. 

"Usaha melebarkan jalan sudah tentu memakan kos dan masa, dan langkah ini juga bukan satu cara untuk mengurangkan masalah kesesakan yang semakin meruncing. Itu tidak betul.

"Ia mungkin berkesan ketika musim perayaan, akan tetapi bagaimana jika bukan musim perayaan? 

"Ianya satu pembaziran, dan kenapa tidak kita gunakan sumber sedia ada untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam?" tambah beliau lagi.

 

gambar hiasan

Terdahulu, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia dilaporkan mendedahkan pelan untuk melebarkan lebuhraya utama dan jalan bagi memudahkan aliran trafik ketika musim perayaan. 

Setiap kali musim perayaan, kadar aliran trafik meningkat 20 peratus lebih banyak berbanding penggunaan hari biasa yang melibatkan 1.7 juta pengguna jalan raya.

Sementara itu, Professor Dr Wong Shaw Voon dari UPM berkata, kajian untuk melebarkan jalan terutama di kawasan yang kritikal perlu dilakukan sekiranya ia benar-benar diperlukan. 

Tambah beliau, sekiranya ia dilakukan di kawasan yang sememangnya sibuk, ia akan memberikan kesan kepada lokasi-lokasi yang lain. 

"Ia akan menjejaskan aliran trafik secara keseluruhannya, dan saya fikir pihak berkuasa perlu mengkaji terlebih dahulu, oleh kerana ia juga berkait rapat dengan perubahan dinamik trafik semasa. 
 

sumber gambar: Berita Harian

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Nasional, Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan turut menyentuh isu melarang kenderaan berat daripada beroperasi ketika musim perayaan. 

Walaupun pada awalnya beliau memuji langkah tersebut, langkah ini perlu diambil kira oleh pihak berkuasa dan juga pemegang kepentingan bagi menentukan jenis kenderaan yang perlu dilarang daripada memasuki lebuhraya.

"Kenderaan berat yang membawa muatan barangan segar, gas dan juga petrol tidak sepatutnya dilarang daripada memasuki lebuhraya, kerana permintaan yang sangat tinggi terutama ketika musim perayaan.

Sumber: NST

Add new comment

Careta Ad