Leapmotor C01 - sedan EV dengan jarak gerak 717 km, 542 hp, harga dari RM117k di China

oleh Mohamad Hanif|
Pasaran China terus dimeriahkan dengan kehadiran sebuah lagi model EV baharu dari jenama Leapmotor, iaitu C01.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut laporan daripada CarNewsChina, sedan C01 ini menggunakan teknologi cell-to-chassis (CTC) di mana komponen seperti casis, bahagian bawah badan dan bateri diintegrasikan, sekaligus mengelakkan keperluan untuk memasang pek bateri secara berasingan.

Sedan saiz pertengahan ini memiliki ukuran sepanjang 5,050 mm x 1,902 mm x 1,509 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,930 m serta ruang kargo sebesar 496 liter yang tersedia.
 

C01


Rekaan badan yang anggun ini turut menampilkan ciri seperti pemegang pintu tertanam, serta pintu tanpa rangka yang turut menyumbang kepada nilai pekali seretan serendah 0.226 sahaja.

Dari segi kuasa, C01 hadir dengan motor elektrik berkuasa 542 hp yang dibantu dengan sistem sejukan minyak, pecutan 0-100 km/j dalam tempoh tiga saat serta pek bateri 90 kWh yang membolehkan jarak operasi sejauh 717 km.

Di pasaran China, terdapat empat jarak operasi yang bakal ditawarkan, di mana varian asas mampu mencapai jarak sekurang-kurangnya 500 km untuk sekali cas penuh.
 

C01


Ruang kabin pula membawakan sehingga tiga skrin paparan dengan unit pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8155, selain menawarkan ciri pengecaman pemandu, dan sehingga 25 opsyen penyesuaian berdasarkan profil individu yang telah ditetapkan dengan hanya mengimbas muka pemandu sahaja.

Harga jualan Leapmotor C01 bermula dari RMB180,000 (RM116,538) untuk varian asas, hingga RMB270,000 (RM174,806).

Sumber: CarNewsChina