LAVO Australia hasilkan sistem storan tenaga hidrogen - boleh lawan Powerwall Tesla!

oleh Mohamad Hanif|
Salah satu cara untuk tidak bergantung (tidaklah sepenuhnya) kepada sistem grid nasional adalah dengan memasang panel solar, namun anda juga perlu memerlukan sistem storan tenaga yang bersesuaian untuk menyimpan lebihan tenaga untuk kegunaan pada masa akan datang.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sebelum ini kami pernah menyiarkan kisah kehidupan sebuah keluarga di UK yang bergantung kepada penggunaan tenaga solar untuk menjana tenaga dan Tesla Powerwall 2 untuk menyimpan lebihan tenaga.

Kini di Australia, syarikat teknologi LAVO telah melancarkan sebuah sistem storan berasaskan hidrogen yang dinamakan sebagai Lavo Green Energy System.

 


Dari segi dimensi, ia berukuran 1,680 mm x 1,240 mm x 400 mm dengan berat sekitar 324 kg yang boleh disambungkan kepada inverter sistem suria dan saluran air utama.

Sistem Lavo ini menggunakan lebihan tenaga daripada sistem grid untuk menjalankan proses elektrolisis air untuk membebaskan oksigen, manakala hidrogen pula akan disimpan di dalam bekas metal hydride bertekanan tinggi 30 bar.

Menurut Lavo lagi, sistem ini mampu menyimpan tenaga 40 kWh - tiga kali lebih banyak berbanding Powerwall 2 dan mencukupi untuk menguasai sebuah rumah kediaman selama dua hari.

 


Antara kelebihan yang ditawarkan pada sistem ini adalah kadar kitaran hidup yang lebih lama (30 tahun) berbanding sistem bateri lithium biasa (15 tahun), serta tidak menghasilan bahan toksik yang mampu membahayakan nyawa.

Di Australia, harga jualan bermula dari AU$34,750 (RM108,431) dan harga tersebut bakal turun menjelang suku keempat tahun 2022 (RM91,894) apabila ia mula ditawarkan di peringkat global.