Lari SJR, pandu lawan arus, pemandu Proton Saga dipenjara 10 hari

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan/foto kecil Muhammad Syafiq
Pekerja kedai makan dipenjara 10 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di Johor Bahru, pada Isnin atas tuduhan memandu kereta secara melulu dan berbahaya, Jumaat lalu.

Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa hari ini, selepas tertuduh, Muhammad Syafiq Jefri, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Dia diperintahkan menjalani hukuman penjara tujuh bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu Proton Saga secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi melawan arus serta tidak berhenti di lampu isyarat merah dan persimpangan.

Perbuatan yang membahayakan pengguna jalan raya lain dilakukan di Jalan Lingkaran Dalam, pada 3.45 pagi, Jumaat lalu dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S Vikineswary memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

"Tertuduh melakukan aksi pusingan U di laluan yang tidak dibenarkan dan melawan arus kerana lari dari sekatan jalan raya (SJR). Tertuduh kemudian membuat aksi 'zig-zag' dan mencelah (antara) kenderaan, yang mana ia berbahaya kepada dirinya sendiri dan juga pemandu lain.

"Tertuduh juga tidak berhenti di lampu isyarat merah," katanya.

Selain hukuman diputuskan, mahkamah juga menetapkan tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.

Harian Metro

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, polis turut menerima laporan daripada mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 56 tahun…
Berita Domestik
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa, lelaki tempatan…
Berita Domestik
Ketika ini, tempoh sambung reman terhadap suspek berusia 19 tahun yang dilanjutkan dua hari pada…