Lari dari sekatan polis - pemandu Saga tiada lesen dan kad pengenalan diri

oleh SALINA JALIL|
gambar dari Sinar Harian
Seorang lelaki warga Indonesia diberkas selepas cuba melarikan diri dengan memecut laju kereta dipandunya ketika sekatan jalan raya di susur Kilometer 31 Lebuhraya Shah Alam (Kesas), di Shah Alam pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kereta jenis Proton Saga dipandu suspek diarah berhenti di kiri jalan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 7.30 pagi.

 

"Bagaimanapun, pemandu terbabit bertindak memecut laju dan hampir melanggar anggota polis bertugas serta merempuh palang tol.

 

"Dua anggota polis bertugas mengejar suspek dan semasa di KM45.4 Lebuhraya Kesas menghala Bukit Jalil, kereta itu melanggar palang tol di lorong kanan serta mengalami kerosakan sebelum berhenti di lorong kecemasan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

 

Beliau berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan dan pemeriksaan lanjut tidak menjumpai apa-apa barang salah.

 

Katanya, suspek dipercayai memecut laju kereta dipandunya kerana tiada lesen memandu dan dokumen pengenalan diri.

 

"Lelaki itu kini direman tiga hari sehingga Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

 

"IPD Shah Alam akan terus mempergiatkan lagi tugasan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kadar jenayah selain penguatkuasaan terhadap pesalah lalu lintas," ujarnya.

 

 

Sinar Harian