Untuk motosikal, ia akan bermula menjelang Julai 2028 dan untuk kenderaan komersil diesel, lebih awal, iaitu pada 1 April 2026.
Kiraan HSU itu pula, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA), adalah selari dengan apa yang dipersetujui oleh Perjanjian Dasar Asean untuk kemudahan pengangkutan transit barangan kargo.
Ini bukan kali pertama Singapura mengenakan syarat berkaitan asap kenderaan. Peningkatan kualiti diesel runcit Malaysia dari Euro 2M kepada Euro 5 yang terjadi dalam tahun 2021 ialah akibat dari syarat yang dikenakan oleh Singapura juga.
Pada masa itu, ketiadaan diesel Euro 5 membuatkan pengusaha pengangkutan tempatan hilang punca kerana tanpa diesel tersebut, mereka tidak akan melepasi piawaian asap di Singapura.
Sekarang, satu lagi cabaran muncul tetapi kita harus akur bahawa ini ialah hak Singapura sebagai sebuah negara berdaulat di mana ia mempunyai hak untuk menjaga alam sekitar bagi kepentingan penduduknya.
Tidak ada isu ketidak-adilan atau pilih kasih kerana ia juga akan terguna-pakai bagi kenderaan-kenderaan asing yang mahu masuk ke negara tersebut.
Bagi pendapat saya, undang-undang baharu itu tidak akan menyukarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
Sekitar 300,000 orang yang menyeberang ke Singapura setiap hari dan lebih dari separuh jumlah itu menggunakan motosikal.
Dengan pendapatan yang cukup tinggi, saya tidak pernah melihat mereka menunggang motosikal yang uzur, atau yang berusia lebih dari 25 tahun (2003 ke 2028), tetapi undang-undang baharu itu dilakukan untuk mengukuhkan perundangan alam sekitar Singapura.
Bagi kenderaan komersil diesel, semua bahanapi diesel Malaysia menggunakan Euro 5 dan ia sebenarnya bergantung kepada operator pengangkutan untuk memastikan enjin kenderaan diesel mereka dalam keadaan sempurna - sesuatu yang jarang berlaku di Malaysia, kecuali selepas pemeriksaan berkala Puspakom dan selepas itu, tayar-tayar sewa dipulangkan kembali.
Apa yang menyedihkan saya ialah ini adalah kali kedua Singapura "membantu" Malaysia dari segi "membersihkan" negara kita dari kenderaan-kenderaan bermasalah.
Ia juga menunjukan tiada semangat yang kukuh untuk membaiki kadar pelepasan karbon dari kenderaan-kenderaan di Malaysia.
Malah, promosi penjualan EV juga saya lihat lebih kepada "gah" bahawa Malaysia akan nampak maju kerana peningkatan penggunaan EV serta kurang kebergantungan kepada bahanapi fosil.
Ini bukan apa yang sepatutnya berlaku kerana pengguna di Malaysia perlu dibangunkan dari tidur mereka berkaitan pencemaran alam sekitar, baik dari segi pelepasan asap ekzos kenderaan ataupun kilang dan janakuasa elektrik.
Acapkali kita melihat kenderaan di parkir dibiarkan hidup berjam-jam kerana mahu pendingin hawa. Tak kurang juga mereka yang menunggu di dalam kenderaan sementara "burger" dibungkus, dan asap ekzos mereka dihidu oleh orang di sekeliling yang sedang berdiri menunggu atau yang sedang makan, tanpa ada sekelumit rasa berdosa.
Paling teruk, bila ditegur secara baik, menjadi punca pergaduhan.
Masalah-masalah kecil ini boleh dikumpulkan dan ia akan membawa kepada satu persoalan yang lebih besar - walaupun Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) telah diumumkan dalam tahun 2023, adakah pemimpin di Malaysia benar-benar serius ia akan dilaksanakan dalam masa yang dijanjikan?
Jika kita lihat keadaan sekarang, saya kira ia akan dilakukan dalam kadar yang lebih lembab dari larian seekor siput bunting.
Wallahuallam.