Laporan: Xiaomi mahu ambil alih Borgward, sasar EV pertama tahun 2024!

oleh Mohamad Hanif|
Penglibatan syarikat teknologi dalam bidang automotif bukanlah cerita baharu, di mana sebelum ini Apple turut dilaporkan berminat untuk menghasilkan kereta sendiri (Apple Car), malah Sony juga turut tampil dengan model konsep Vision-S.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Terbaharu, menurut laporan daripada agensi Persatuan Kewangan China, Xiaomi dilaporkan sedang merancang untuk membeli Borgward Motors, selain mengambil alih kilang produksi yang terletak di Beijing, China.

Dengan pengambilalihan kilang Borgward ini, ia bakal memudahkan perancangan Xiaomi untuk menjalankan model kilang berkembar yang membolehkan mereka menjalankan produksi kenderaan dengan lebih cepat, selain membangunkan kilang baharu bagi memastikan produksi kenderaan masa hadapan yang lebih stabil.

Borgward merupakan jenama automotif Jerman yang telah dibangkitkan semula pada tahun 2014, di mana ia dimiliki 100 peratus oleh Foton Motor, sebuah subsidiari Beijing Automotive Industry Corporation (BAIC).

Namun pada tahun 2019, Foton menjual 67 peratus pegangan kepada syarikat pengimport kenderaan terpakai uCar.

Meskipun kilang Borgward mempunyai kapasiti produksi tahunan sebanyak 180,000 unit kenderaan, syarikat automotif itu nampaknya sukar untuk mencapai sasaran jualan yang telah ditetapkan, di mana angka jualan bulanan sukar untuk melepasi paras 500 unit.
 

BX5


Malah menurut laporan daripada CarNewsChina, operasi kilang Borgward telah dihentikan lebih daripada tempoh setahun.

Kilang yang terletak di Miyun Park, Zhongguancun, Beijing itu direka untuk mencapai angka produksi sebanyak 180,000 unit untuk fasa pertama pembangunan, dan mampu mencapai 360,000 unit menerusi pembangunan fasa kedua.

Fasiliti pintar ini menempatkan proses pengeluaran penuh yang bermula dari proses stamping, hasil kerja badan, cat, pemasangan akhir, pemeriksaan, serta logistik, selain berkeupayaan untuk memasang kedua-dua model berenjin pembakaran dalaman dan kenderaan elektrik.

Menurut sumber, Xiaomi merancang untuk melancarkan EV pertama mereka pada tahun 2024.

Sumber: CarNewsChina

Berita Berkenaan

Berita Global
Jangkaan untuk model EV itu semakin meningkat sejak Xiaomi melancarkan kenderaan itu pada Disember…
Berita Global
Seperti biasa, spesifikasi ringkas EV pertama Xiaomi itu kini tersedia menerusi laman web…
Berita Global
Mereka dijangka akan melancarkan model EV pertama pada tahun 2024, di mana anda boleh melihat model…