Paling jauh, ia turun ke Bahau dari Kuala Lumpur. Sebenarnya, kami mahu melakukan beberapa modifikasi sebelum berjalan jauh dengan Versys X ini.
Di dalam kawasan bandar, ia memang berfungsi dengan baik. Tenaga dari enjin 2-silinder sebaris itu memadai, cuma nisbah gear menyebabkan kami sentiasa bermain dengan klac dan tuil gear.
Klac pernah terasa seperti mengalami masalah seperti ia licin atau glazed. Namun begitu, setelah dihantar untuk diperiksa, ternyata tidak ada sebarang masalah. Cuma kabel klac diselaraskan kembali dan ia berfungsi dengan baik sekarang.
Versys X ini sebenarnya dilengkapi dengan slipper clutch, dan mungkin itu yang membuatkan ia terasa lembut hinggakan "biting point" klac itu tidak dapat dirasa.
Walaupun ia cuma 250 cc, susuk tubuh yang lampai serta palang hendal yang lebar menyebabkan ramai menyangkakan ia sebuah motosikal 650 cc.
Ia juga tinggi, dan sangat sesuai untuk penunggang yang mempunyai ketinggian 1.6 meter ke atas. Bagi penulis yang berketinggian 1.8 meter, Versys X ialah satu-satunya motosikal berkapasiti 250 cc yang sepadan dengan tubuh sasa penulis.
Dari segi kualiti pembinaan, memang ia langit dengan bumi berbanding dari model-model keluaran Tanah Besar China. Dari plastik meter ke fairing dan kimpalan kerangka, tidak ada sebarang isu yang perlu diadukan.
Paparan meter juga ringkas tetapi nampak mahal. Panel LCD juga mudah dibaca pada waktu siang atau malam. Papan pemuka turut menyediakan ruang untuk aksesori seperti pengecas USB dan voltmeter - keduanya boleh ditempah dari Kawasaki Malaysia.
Pelana pada mulanya terasa keras, tetapi kini sudah mula menjadi empuk dan selesa. Menunggang selama lebih dari setengah jam tidak mendatangkan sebarang surat aduan dari bahagian punggung penulis.
Lampu halogen di hadapan berfungsi baik untuk menerangi jalanraya, cuma limpahan tidak cukup kuat untuk menerangi kawasan di kiri kanan jalanraya.
Penggunaan bahan api memang "excellent", atau terbaik. Dari tangki sebesar 17 liter itu, penulis mampu mencecah 350 km dengan mudah dan tanpa was-was. Menurut rakan-rakan dari kelab Versys X ini, ia boleh pergi lebih jauh jika menunggang secara santai di lebuhraya.
Untuk yang dahagakan halaju tinggi, ini bukan motosikalnya. Ia adalah sebuah motosikal AVD atau adventure dengan enjin 250 cc. Kelajuan maksimum, bergantung pada berat penunggang dan beban, berkisar dari 140 kmsj kepada 155 kmsj.
Kelajuan malar di mana enjin dalam keadaan selesa ialah antara 95 kmsj ke 110 kmsj. Ini juga bergantung kepada berat beban dan sekiranya ia dipasang dengan topbox dan panniers dan dinaiki dengan pembonceng, pasti kelajuan maksimum terkesan.
Satu kemusykilan yang kami dapati ialah enjin akan terasa bergegar dalam kelajuan 70 ke 90 kmsj, yang kemudiannya hilang bila melepasi julat itu.
Kami melakukan servis 1,000 km pertama di Serdang Motor, wakil penjual Kawasaki berhampiran UPM. Minyak enjin sintetik sepenuhnya, penapis minyak enjin dan penalaan dilakukan ddengan kos lebih kurang RM260 (pelincir sintetik penuh).
Untuk menjadikan ia lebih praktikal, kami memasang kotak topbox Givi kepada Versys X ini. Pada awalnya, kami gunakan topbox model Givi B32 Bold bersaiz 32 liter.
Terlalu kecil untuk kegunaan kami, kami tukar ke yang lebih besar, model Givi E43NTL Mulebox dengan saiz 43 liter yang mampu memuatkan dua helmet.
Namun begitu, nafsu mengatasi segalanya kerana kotak plastik hitam itu nampak tidak begitu seksi bila Versys X ini diparkir bersebelahan dengan BMW R1200 GS di rumah.
Oleh itu, dengan lafaz Astarghfirullahalzim, penulis pejamkan mata dan membeli Givi Trekker Outback 42-liter - kotak aluminium yang nampak lebih seksi dan jauh lebih berguna dari selebriti yang bakal bertanding dalam pilihanraya nanti.
Selain dari topbox Givi itu, modifikasi lain yang dilakukan ialah menukar skrin hadapan kepada jenis yang lebih tinggi, handguard atau pelindung tangan, menambah besi tapak tongkat sisi, memasang crash bar lengkap dengan sepasang lampu sorot LED warna putih, pemegang telefon dan juga batang L untuk meletak kamera GoPro.