Lapangan terbang di Seri Iskandar - Perak tunggu 'lampu hijau' MOT, MOF

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kerajaan Perak hanya menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, dekat Tronoh.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata menjadi kebiasaan bagi mana-mana negeri mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan pusat melalui kementerian berkaitan bagi mengembangkan aset baharu atau aset sedia ada.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Dalam kes cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa yang baharu di Seri Iskandar, ia memerlukan perhatian dan pertimbangan yang baik demi masa depan landskap penerbangan negara.

"Kita (Kerajaan Perak) sudah 'jual' idea kepada (kerajaan) pusat, walaupun kita ada tanah, ia bergantung kepada keputusan MOT dan MOF. Kita harap (kerajaan) pusat dapat luluskan kerana ada keperluan," katanya pada sidang media selepas Program 'Tanya Cikgu Saarani' di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin pada Julai lepas menyatakan kerajaan Perak dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar berhampiran Felcra Nasaruddin.

Projek itu dicadang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 1,618.74 hektar dan kajian awal projek tersebut dilaksanakan syarikat kejuruteraan infrastruktur antarabangsa, Colebrand International Limited yang berpangkalan di United Kingdom.

Sementara itu, Saarani berkata pembinaan lapangan terbang baharu di Perak amat diperlukan kerana diyakini dapat meningkatkan limpahan ekonomi negeri.

"Projek Lumut Maritime Industrial City (LuMic) dijangka akan mengubah landskap ekonomi Perak pada masa depan dan untuk jangka masa panjang, ia (pembinaan lapangan terbang) amat diperlukan.

"(Kerajaan) Pusat sememangnya dah tahu kehendak kerajaan negeri mengenai perkara ini, malah perjumpaan dengan MOT sendiri pun mereka telah dimaklumkan, jadi kita tunggulah keputusannya," katanya.

 

Bernama