“Kita perlu mematuhi piawaian pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan semua agensi. Sebab ini soal nyawa penumpang lapangan terbang yang dijangka berjumlah dua juta penumpang setiap tahun.
“Insya-Allah, akan ada pengumuman menarik oleh pihak pemaju dan terus mengikuti perkembangan seterusnya,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Ceka) yang ingin tahu status lapangan terbang pada pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Kuantan pada Selasa.
Terdahulu, Mohamad Nizar berkata, cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng serta Bandar Aeroangkasa adalah projek strategik berimpak tinggi kerajaan negeri yang dilaksanakan melalui pendekatan pembiayaan swasta di atas tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
Katanya, pembangunan itu dirancang secara bersepadu melibatkan kawasan seluas kira-kira 5,042 hektar, merangkumi komponen utama seperti lapangan terbang antarabangsa, fasiliti penyelenggaraan dan baik pulih (MRO), Space City, Advanced Mobility Park, Data Centre, Al Tech Park, serta pembangunan bercampur residensi dan komersial yang menyokong ekosistem aeroangkasa dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Berhubung status terkini, projek ini kini berada pada peringkat pemuktamadan keperluan teknikal, struktur pelaksanaan serta pembabitan pelabur strategik.
“Pada masa sama, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada pematuhan syarat teknikal yang ketat oleh agensi persekutuan yang berkaitan.
“Ia termasuk Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), CAAM serta Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), khususnya membabitkan aspek kawal selia, keselamatan dan piawaian operasi penerbangan antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersama pihak pemaju sedang melaksanakan libat urus berterusan dengan semua agensi berkaitan untuk memastikan setiap keperluan teknikal dipenuhi sepenuhnya sebelum pelaksanaan fizikal diteruskan.