Langgar Pejalan Kaki Mabuk, Penunggang Maut

oleh Hamimah Hamid|
GARA-GARA pejalan kaki mabuk, seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya melanggar lelaki tersebut di Kilometer 375.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di Slim River, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 50-an yang menunggang motosikal jenis Keeway dari Teluk Intan menuju ke Selayang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku selepas penunggang motosikal yang melalui lorong kecemasan terlanggar seorang pejalan kaki disyaki mabuk di lokasi kejadian.

motosikal jenis Keeway

“Kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh di lorong kecemasan dan terbabas ke lorong kiri. Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Slim River (HSR).

“Pejalan kaki yang mengalami kecederaan pula telah dibawa ke HSR untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Superintendan Sulizmie Affendy berkata, pihak polis sedang menyiasat butiran lanjut mengenai pejalan kaki tersebut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.