Langgar lampu merah, Perodua Axia hangus terbakar

oleh Penyumbang Rencana|
Sebuah kereta Perodua Axia terbakar sepenuhnya akibat melanggar lampu merah dalam kemalangan dengan sebuah lagi kereta di lampu isyarat Jalan Sungai Ujong berhadapan bangunan Palm Mall di sini malam semalam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, Perodua Axia terbakar akibat impak pelanggaran daripada sebuah kereta BMW 320i yang tidak sempat mengelak sebelum berpusing dan melanggar tiang lampu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Perodua Axia seorang lelaki berusia 45 tahun sedang bergerak dari arah Petron Sungai Ujong menuju ke arah Hotel Time, Seremban seorang diri.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Perodua Axia terlibat telah bertindak mengabaikan lampu isyarat berwarna merah dari arah beliau lalu membelok ke kanan untuk masuk ke simpang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 


Nanda berkata, kemudian datang sebuah kereta jenis BMW 320i yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun seorang diri dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi sebelah kiri Perodua Axia terlibat.

“Pelanggaran tersebut telah menyebabkan Perodua Axia itu berpusing lalu terbabas menaiki tembok tengah pembahagi jalan dan melanggar sebatang tiang lampu isyarat.

“Impak pelanggaran tersebut juga telah menyebabkan Perodua Axia terbakar keseluruhan,” katanya.

Jelas Nanda, bagaimanapun dalam kemalangan itu tiada kecederaan dialami oleh kedua-dua mangsa.

“Kenderaan terbakar telah berjaya dipadamkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang hadir di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Rule 17 LN 167/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber: KOSMO! ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Menurut JPJ negeri, penguatkuasaan secara berfokus itu dilakukan di dua daerah iaitu di Seberang…
Berita Domestik
Kejadian tersebut berlaku di persimpangan lampu isyarat Kampung Acheh berhampiran Kilang YTY, Seri…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian…