Menurut Land Rover, model ini merupakan tribut kepada model pertama yang mendarat di Amerika Syarikat, iaitu Land Rover Defender 110 yang muncul pada tahun 1992.

Pada ketika itu, model Defender 110 First Edition dihadkan angka jualannya kepada 500 unit, dan menampilkan kelengkapan seperti perlindungan roll-over, rak bumbung dan juga cermin depan dengan ciri pemanas.
Meneruskan tradisi, Defender 110 2023 versi 30th Anniversary Edition turut ditawarkan dalam 500 unit dan hadir dalam layangan warna Fuji White.

Selain itu, ia juga turut mendapat rim keluli bersaiz 18 inci kemasan Gloss White, upholsteri kulit Ebony, serta lencana khas yang dipasangkan pada bahagian pintu tailgate belakang.
Land Rover turut menawarkan pelbagai jenis aksesori termasuklah rak bumbung Expedition, mud flap klasik depan dan belakang, alas lantai getah, tempat pemijak sisi, tangga boleh lipat, penambahan pada arka roda diikuti dengan kelengkapan pakej Cold Climate Pack, Black Exterior Pack, Tow Pack dan Off-Road Pack.

Harga jualan Land Rover Defender 30th Anniversary Edition 2023 ini bermula dari $75,000 (RM326,513) di pasaran Amerika Syarikat.