Land Rover hasilkan 4 unit Defender klasik dengan cat unik untuk seorang pelanggan istimewa

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Walaupun pengeluaran Land Rover Defender generasi asal telah ditamatkan lebih sedekad lalu selepas 67 tahun berada di pasaran, model ikonik itu masih boleh dimiliki dalam versi "baharu" menerusi program khas Land Rover Classic.

Bahagian restorasi rasmi Land Rover itu mengambil Defender yang dibina antara tahun 2012 hingga 2016 sebelum membaik pulih dan menaik tarafnya mengikut spesifikasi moden, termasuk menawarkan enjin V8 berkuasa tinggi.

Terbaharu, seorang pelanggan yang tidak didedahkan identitinya telah menempah empat buah Defender klasik yang diubah suai secara eksklusif oleh Land Rover Classic. 

Koleksi tersebut terdiri daripada sebuah Defender 90 Station Wagon, Defender 90 Soft Top, Defender 110 Station Wagon dan model baharu Defender 110 Double Cab Pick Up.

 

2

 

Apa yang menjadikan keempat-empat model itu begitu istimewa ialah kemasan cat unik dikenali sebagai Spectral Green, yang mampu bertukar warna bergantung kepada sudut cahaya. 

Pada pandangan tertentu, badan kenderaan kelihatan hijau, namun boleh berubah kepada warna ungu atau keemasan apabila terkena cahaya dari sudut berbeza, menghasilkan kesan seperti "chameleon paint" yang jarang dilihat pada kenderaan produksi.

Proses menghasilkan kemasan khas itu bukanlah mudah, setiap Defender menghabiskan hampir 400 jam di bahagian pengecatan bagi memastikan hasil akhir memenuhi standard Land Rover Classic. 

Pelanggan tersebut turut meminta kemasan Spectral Green digunakan pada rim aloi 18 inci dan lencana luaran, malah konsol tengah kabin juga menerima sentuhan warna yang sama.

 

3

 

Bagi memberikan kontras yang menarik, bahagian bumbung serta rangka ekspedisi (expedition cage) pada keempat-empat Defender itu disiapkan dalam warna Icy White. 

Warna putih yang sama turut digunakan pada tulisan "Defender" di bonet hadapan serta garisan hiasan (coachline) yang dilukis secara manual pada badan kenderaan.

Di bahagian dalaman, suasana premium diteruskan dengan penggunaan upholsteri kulit berkualiti tinggi yang dipadankan dengan jahitan berwarna hijau. 

Walaupun masih mengekalkan identiti Defender klasik, sistem infotainmen telah dipertingkatkan, selain paparan standard 3.5 inci, pelanggan kini boleh memilih skrin sentuh 9 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

 

4

 

Menurut Land Rover Classic, pilihan penyesuaian yang ditawarkan hampir tidak terhad, dengan bajet yang mencukupi, pelanggan boleh mereka sebuah Defender yang benar-benar unik mengikut citarasa sendiri, sama ada dari segi warna, kemasan dalaman, aksesori mahupun spesifikasi mekanikal.

Program Classic Defender V8 itu membuktikan bahawa walaupun Defender asal telah lama menamatkan pengeluarannya, legenda off-road Britain itu masih mempunyai daya tarikan yang kuat dalam kalangan pengumpul dan peminat automotif.

Dengan gabungan reka bentuk klasik, enjin V8 moden serta tahap personalisasi yang hampir tiada had, Defender klasik kekal sebagai salah satu kenderaan paling eksklusif yang ditawarkan oleh Land Rover hari ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Keputusan ini menandakan penutup kepada satu era panjang sejak model pertama Land Rover…
Berita Global
Sebagai alternatif yang jauh lebih menarik, muncul satu binaan luar biasa dikenali sebagai Osprey…
Berita Global
Pilihan Warna Dan Trim Baharu Land Rover Classic kini menawarkan beberapa warna baharu…