Untuk pasaran Malaysia, terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu P300 yang dilengkapi dengan enjin petrol Ingenium empat silinder sebaris 2.0 liter turbo (300 PS/400 Nm), serta P400 yang dilengkapi dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkuasa 400 PS dan 550 Nm dibantu dengan teknologi hibrid ringan.

Tidak seperti Defender 110, Defender 90 memiliki jarak antara roda yang lebih pendek, namun masih lagi mampu meredah air sedalam 900 mm, dilengkapi dengan tranfer case dua kelajuan yang membolehkan pemanduan off-road yang lebih mencabar dilakukan.
Defender 90 juga turut didatangkan dengan sistem suspensi udara elektronik dengan ketinggian yang boleh dilaraskan - lebih rendah 40 mm atau lebih tinggi sehingga 75 mm, serta tambahan tinggi 70 mm yang boleh digunakan untuk pemanduan off-road yang ekstrem.
Sistem Adaptive Dynamic pula akan memantau pergerakan badan sehingga 500 kali sesaat yang membolehkannya disesuaikan dengan keadaan pemanduan semasa.

Untuk ruang kabin, Defender 90 hadir dengan senibina kenderaan elektrik (EVA 2.0) yang menyokong kemaskini over-the-air (SOTA) untuk sistem infohibur Pivi Pro, selain mempunyai ciri keselamatan seperti kamera pandang depan digital, kamera keliling 3D dengan gambaran skrin terimbuh, serta ciri seperti Penderia Kedalaman Air dan Land Rover ClearSight.
Terdapat sehingga lima warna ditawarkan untuk Defender 90 2022, serta pilihan 170 buah aksesori yang merupakan penawaran terbesar yang pernah dihasilkan oleh Land Rover.
Aksesori itu termasuklah kotak simpanan barang di bahagian sisi, koleksi peralatan serta koleksi pakaian Above and Beyond untuk dipilih oleh para pemilik.

Harga jualan Land Rover Defender 90 bermula dari RM838,800 untuk varian P300 manakala varian P400 MHEV pula dijual pada harga dari RM1,098,800 (atas jalan, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).
Land Rover Defender 90 2022 didatangkan dengan sokongan program Land Rover Care yang merangkumi jaminan lima tahun, pakej servis percuma lima tahun serta khidmat bantuan tepi jalan selama tiga tahun.