Seperti namanya, Defender 130 merupakan model Defender yang jauh lebih panjang berbanding versi 90 dan 110, dengan keupayaan menempatkan sehingga lapan orang pada satu-satu masa, dan tanpa mengorbankan aspek prestasi di laluan off-road.
Jarak antara roda masih lagi sama panjang dengan model Defender 110 (sekitar 3,022 mm), namun jarak keseluruhan Defender 130 kini mencecah 5,358 mm.
Namun, penambahan tempat duduk baris ketiga menyebabkan ruang kargo hanyalah sebesar 388 liter, namun boleh dibesarkan sehingga 1,232 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat, atau sehingga 2,291 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Untuk mereka yang mementingkan ruang barangan yang lebih luas, Land Rover juga turut menawarkan Defender 130 dalam versi lima tempat duduk, di mana ruang kargo di belakang kini sebesar 1,329 liter.
Eksklusif untuk model Defender 130 adalah penawaran warna yang digelar sebagai Sedona Red.
Antara ciri standard yang dimuatkan termasuklah sistem infotainmen 11.4 inci, sistem suspensi udara untuk keselesaan dan keupayaan off-road dipertingkat, serta ciri pemanas untuk tempat duduk baris ketiga.
Dari segi kuasa, Defender 130 boleh didapati dalam versi berikut:
D300 - enjin diesel berkuasa 295 hp/650 Nm
P300 - enjin petrol inline-6 berkuasa 300 hp/470 Nm
P400 - enjin petrol inline-6 berkuasa 400 hp/550 Nm
Sebagai rujukan, harga jualan untuk Land Rover Defender 130 di Eropah bermula dari £73,895 (RM407,634).