Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Defender generasi baharu ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu enjin 2.0L Ingenium yang mampu menghasilkan 300 PS dan daya kilas 400 Nm, serta enjin mild hybrid 3.0 liter enam silinder sebaris yang mampu menjana 400 PS dan daya kilas 550 Nm.

Dibina menggunakan platform monokok aluminium D7x, Land Rover Defender memiliki casis yang tiga kali lebih tegar berbanding binaan body-on-frame, selain mampu menunda muatan seberat 3,500 kg dan beban bumbung statik seberat 300 kg.
Untuk kegunaan off-road, Defender memiliki jarak kelegaan tanah setinggi 291 mm, sudut breakover 28 darjah dan keupayaan untuk meredah air sedalam 900 mm.

Ia turut diperkuatkan dengan program Wade baharu yang boleh didapati dalam sistem Terrain Response, selain sistem suspensi udara Adaptive Dynamics yang mampu memantau pergerakan badan Defender sehingga 500 kali sesaat.
Sistem suspensi ini juga mampu meninggikan badan Defender sehingga 145 mm sementara ciri Elegant Arrival pula merendahkan ketinggian sehingga 140 mm untuk memudahkan urusan keluar masuk.

Tidak ketinggalan, sistem kamera keliling 3D dengan ciri inovasi ClearSight Ground View dan cermin pandang belakang digital memberikan keyakinan pengendalian ketika meredah pelbagai permukaan muka bumi.
Antara ciri moden yang dimuatkan pada Defender termasuklah sistem infotainmen Pivi Pro lengkap dengan sistem bunyi Meridian, paparan head-up serta sistem unit integrasi Click & Go yang menggabungkan aksesori tambahan untuk kemudahan penyimpanan beg, komputer riba dan jaket.

Ruang kargo pula memiliki kapasiti sebesar 1,075 liter dan boleh diperbesar sehingga 2,380 liter dengan muatan maksimum 900 kg.
Harga jualan bermula dari RM798,800 untuk versi 2.0L 300 PS sementara model mild-hybrid 400 PS pula bermula dari RM998,800.

Harga yang disebutkan tadi adalah termasuk pengecualian cukai 50 peratus, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.
Setiap pembelian model Defender 110 2021 akan disertakan dengan jam tangan Land Rover Heritage bernilai RM2,288 bersempena dengan ulang tahun kerjasama Sime Darby dan Land Rover yang ke-40, sementara stok masih ada.