Terbaharu, divisyen Land Rover Classic kini melancarkan versi baharu Works V8 Islay Edition yang memberikan penghormatan kepada model Series IIa 1965 yang dimiliki oleh Spencer Wilks, salah seorang daripada pengasas Land Rover.

Seperti biasa, Defender klasik V8 Works Islay Edition ini turut ditawarkan dalam versi 90 dan 110 Station Wagon, dengan padanan nadi V8 5.0 liter yang mampu menghasilkan 405 hp dan 515 Nm.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi automatik ZF lapan nisbah kelajuan.
Pecutan 0-96 km/j adalah sepantas 5.6 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 171 km/j sahaja.

Harus diingatkan, kesemua model Works V8 Islay Edition ini tidaklah dipasang baharu, akan tetapi ia menggunakan unit produksi tahun 2012-2016 yang telah direstorasi dan dinaiktaraf.
Hanya 17 unit sahaja Defender 90 yang akan dihasilkan, diikuti 13 unit lagi dalam bentuk Defender 110.
Namun, secara standard kesemua model mendapat ciri seperti layangan cat Mid Grey, bumbung berwarna Limestone, rim keluli, jeriji hadapan klasik, grafik “GXC 639C” pada bahagian sisi, sistem gantungan yang lebih moden, unit lampu utama LED, dan sistem brek baharu.

Masuk ke dalam ruang kabin, pembeli akan disambut dengan balutan upholsteri kulit Windsor Ebony yang diselangi fabrik Islay Woollen Mill, kemasan venir kayu oak, aksen Heritage Grey, serta plak khas bersebelahan tombol gear yang menerangkan asal usul jenama Land Rover.
Pada bahagian konsol storan tengah, terdapat dulang kayu khas bersaiz 110 mm yang diperbuat daripada tong wiski yang diperoleh daripada kilang penyulingan Kilchoman di kepulauan Islay.

Untuk memiliki sebuah Land Rover Defender klasik yang unik ini, anda perlu berbelanja sebanyak £230,000 (RM1,287,005) untuk versi 90, atau sehingga £245,000 (RM1,370,940) untuk varian 110.
Harus diingatkan sekali lagi, model klasik ini hanya akan dihasilkan dalam unit yang agak terhad.