Lamborghini siapkan 20 ribu Huracán, ini 6 model menarik sejak 2014!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini Huracán 20,000
Lamborghini Huracán 20,000
Lamborghini Huracán dilancarkan pada tahun 2014 dan unit ke-20,000 berjaya disiapkan untuk seorang pelanggan di Monaco.

Kenapa angka itu penting? Sebagai pengeluar kereta dalam segmen yang kecil, jumlah itu adalah besar dan signifikan.

Jualan tahunan Lamborghini dalam lingkungan 8,500 unit setahun dan kebanyakannya disumbang oleh SUV Urus.

Unit ke-20,000 tersebut adalah dari model istimewa Huracán Super Trofeo Omologata (STO) berwarna Grigio Acheso Matt.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Lamborghini Huracán 20,000

 

Diperkenalkan pada 2014, Amerika Syarikat paling ramai

Dalam tempoh lapan tahun sejak dilancarkan, Lamborghini mengeluarkan 12 model jalanan dan tiga versi lumba.

Anda gemarkan yang mana? Performante? STO? Boleh buka bumbung?

Dari segi gaya badan, 71 peratus pelanggan memilih model coupé dan bakinya model sensasi pemanduan terbuka. 

Pembeli paling ramai berada di Amerika Syarikat sebanyak 32 peratus diikuti United Kingdom dan China.

Huracán juga membantu dalam prestasi jualan Lamborghini pada 2021 yang menyaksikan peningkatan kepada 2,586 unit dan didorong respon positif pelanggan terhadap STO.

2014, Huracán LP 610-4 

 

Huracán Coupè LP 610-4

 

Huracán coupé LP 610-4 diperkenalkan di Pameran Kenderaan Geneva 2014.

Kod nama 610-4 merujuk kepada pacuan empat roda dan 610 hp, model ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 325 km/j.

Di antara inovasi pada edisi pertama ialah mod pemanduan ANIMA, sistem giroskop LPI on-board dan dua pancitan bahan api.

Model Huracán LP 610-4 Spyder menyusul di Pameran Kenderaan Frankfurt 2015.

Enjin dan output kekal sama, 5.2 liter V10 dan 610 hp cumanya pecutan 0-100 km/j bertambah sedikit kepada 3.4 saat dan kelajuan berkurang kepada 323 km/j.

2015: Huracán LP 580-2 (pacuan belakang)

 

Lamborghini Huracán LP 580-2

 

Jika dihujung model pertama ada angka 4, model ini pula bermakna enjin memacu roda belakang sahaja.

Enjin V10 yang digunakan kekal sama kecuali kuasa dikurangkan kepada 580 hp dan tork 533 Nm dengan kelajuan maksimum 320 km/j.

Pacuan dua roda sahaja juga bermakna lebih ringan atau 33 kg berkurang daripada Huracán coupé kepada 1,389 kg.

Model Spyder RWD diperkenalkan di Pameran Kenderaan Los Angeles pada November 2016.

Edisi terhad Huracán Avio sebanyak 250 unit menyusul pada tahun sama bagi meraikan pengaruh penerbangan dan aeronautik dalam gayaan Huracán.

2016, Huracán Performante dan Nürburgring

 

Lamborghini Huracán Performante

 

Huracán Performante, model berkuasa 640 hp diperkenalkan pada tahun 2016.

Model ini menggunakan komponen aerodinamik ALA dan berjaya memecahkan rekod di Nordschleife Nürburgring bagi kategori kereta produksi.

Seperti biasa, model buka bumbung Huracán Performante Spyder menyusul dan diperkenalkan pada tahun 2018.

Sama seperti model coupé, Performante Spyder mempunyai kuasa 640 hp pada 8,000 rpm dengan tork 600 Nm pada 6,500 rpm.

Pecutan 0-100 km/j hanya perlukan 3.1 saat dan 0-200 km/j dalam masa 9.3 saat.

2019, Huracán EVO 5.2 liter V10 

 

Lamborghini Huracán EVO Fluo

 

Model ini adalah evolusi kepada versi terdahulu dan dilengkapi rear wheel steering, torque vectoring dan Lamborghini Dinamica Veicolo Integrata (LDVI) dengan logik prediktif.

Pada 2020, Huracán EVO Rear-Wheel Drive (RWD) diperkenalkan dengan kuasa 610 hp pada 8,000 rpm dan tork 560 Nm pada 6,500 rpm.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 3.3 saat dan kelajuan maksimum 325 km/j. 

Pelanggan juga boleh mendapatkan Huracán EVO Spyder dan EVO RWD Spyder untuk pemanduan terbuka.

2021, Huracán STO sensasi masa kini

 

Lamborghini Huracán STO

 

Model Lamborghini yang sedang hangat sekarang ini. Huracán STO membawa adunan pengalaman Lamborghini di dalam sukan permotoran ke jalanan.

Model ini diinspirasi dari model lumba Huracán EVO Super Trofeo yang dibangunkan Squadra Corse untuk siri perlumbaan Lamborghini sendiri.

Huracán STO turut membawakan elemen Huracán EVO GT3, model yang tiga kali juara perlumbaan 24 Jam Daytona dan dua kali juara 12 Jam Sebring.

Enjin V10 berkuasa 640 hp dan tork 565 Nm pada 6,500 rpm. Model pacuan belakang hanya perlukan 3 saat untuk memecut dari 0-100 km/j dan 9 saat dari 0-200 km/j.

Kelajuan maksimum ialah 310 km/j.

2022, Huracán Tecnica

 

Lamborghini Huracán Tecnica

 

Model paling baharu diperkenalkan dan membawa pakej aerodinamik yang berbeza. Huracán Tecnica dibuat untuk pelanggan pandu di jalan raya dan menikmatinya di litar lumba.

Nama Tecnica adalah lambang kepada evolusi kuasa Huracán dan juga ciri aerodinamik baharu. 

Enjin diambil dari Huracán STO dengan peningkatan kuasa 30 hp berbanding Huracán EVO RWD.

Angka itu 631 hp dengan tork 565 Nm pada 6,500 rpm, pecutan 0-100 km/j memerlukan 3.2 saat.

60 peratus pilih Ad Personam

 

Lamborghini Huracán STO

 

Menjadikan sesebuah model seperti ini istimewa ialah spesifikasi peribadi yang dipilih pelanggan.

Lebih daripada 60 peratus Huracán yang dipesan mengambil pakej Ad Personam dengan pilihan warna dan bahan istimewa.

Pelanggan di Eropah Tengah, Jepan dan UK lebih cenderung kepada spesifikasi tempahan khas. 

Menariknya, objek seperti perabut, beg, pakaian, mekap, batu berharga dan tali jam turut mempengaruhi kehendak pelanggan.

Ada sekitar 300 warna ditawarkan dan walaupun begitu pelanggan tetap boleh memilih warna yang tersendiri.

Huracán Polizia, jalinan hubungan dengan Polis Itali

 

Lamborghini Huracán Polizia 2017

 

Kereta Polis dengan logo eksotik memang menarik perhatian. Beberapa unit Huracán telah diserahkan kepada polis Itali dan kesinambungan kepada hubungan yang lama terjalin.

Lagi menarik apabila ianya digunakan untuk tugas perubatan kecemasan.

Tahun lalu Huracán membawa organ dari Padua ke Rom dengan jarak 489 km dalam tempoh lebih sedikit dari dua jam.

Selain itu, mereka yang mendarat di lapangan terbang Guglielmo Marconi di Bologna boleh menemui Huracán yang dijadikan kereta panduan untuk kapal terbang ke kawasan apron.

 

Lamborghini Huracán Follow Me Car

 

Dari jalanan ke litar lumba, Huracán Super Trofeo 

Hampir 500 buah kereta lumba Huracán dikeluarkan untuk siri Super Trofeo dan GT3.

Model terhad pun ada iaitu edisi Squadra Corse bagi meraikan sepuluh tahun Super Trofeo pada 2019.

Banyak kejayaan yang dicatat sebagai contoh Lamborghini satu-satunya pengeluar yang menang kelas GTD 24 Jam Daytona sebanyak tiga kali berturut-turut.

Huracán GT3 mencatat 117 kemenangan di lebih 12 siri perlumbaan di serata dunia. 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini Huracán Mexico Edition

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun, perpindahan beliau ke sana bukannya murah, di mana pasukan Al-Hilal perlu membayar £78 juta…
Berita Global
  Setiap model ditawarkan dalam dua konfigurasi dengan warna dan grafik khusus seperti logo 60th…
Berita Global
Huracan tersebut telah disumbang oleh Lamborghini untuk Polis Itali beberapa tahun yang lepas,…