Lamborghini SCV12 - supercar litar yang lebih berkuasa daripada Sian FKP 37!

oleh Mohamad Hanif|
Selepas pengenalan model supercar Sian FKP 37, Lamborghini nampaknya tidak berdiam diri dan terbaharu jenama Lembu Itali tersebut merancang untuk memperkenalkan sebuah lagi model supercar baharu yang dinamakan sebagai SCV12.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kehadiran "V12" pada nama model ini memberikan bayangan supercar ini akan dilengkapi dengan nadi bentangan V12, dan menurut Lamborghini, model SCV12 ini bakal membawakan enjin V12 aspirasi natural yang paling berkuasa di dalam sejarah jenama tersebut.

Tambah Lamborghini lagi, enjin V12 ini berkeupayaan untuk menghasilkan kuasa melebihi angka 830 kuasa kuda!

 


Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi sekuential enam nisbah kelajuan, dengan sistem suspensi jenis pushrod yang dipasang secara terus kepada komponen tersebut.

Difahamkan, Lamborghini SCV12 ini bukanlah sebuah jentera lumba, akan tetapi ia bakal membawakan segala macam teknologi dan kepakaran daripada Lamborghini Squadra Corse, malah ia turut menampilkan kadar daya turun dan aerodinamik yang lebih tinggi berbanding sebuah model GT3.

Ini disumbangkan dengan kehadiran hud hadapan yang panjang dan menampilkan bukaan kemasukan udara berkembar, serta komponen tetulang tengah yang menyalurkan aliran udara kepada skup yang terletak di atas bumbung.

 


Selain daripada itu, splitter di hadapan dan digandingkan dengan sirip menegak di bahagian sisi, serta kehadiran spoiler dan diffuser di bahagian belakang turut memberikan peranan besar di dalam aspek aerodinamik itu tadi.

Data lain seperti berat bersih supercar ini masih belum didedahkan secara rasmi, akan tetapi menurut Lamborghini casis SCV12 ini diperbuat daripada gentian karbon bagi memastikan angka nisbah kuasa kepada berat yang lebih baik.

Lamborghini SCV12 didatangkan dengan set rim bersaiz 19 inci hadapan dan 20 inci belakang, serta dibaluti tayar Pirelli yang direka khusus untuk model ini.

 


Harga jua akan diumumkan sedikit masa lagi, di mana setiap pembeli akan menerima akses kepada kelab paling eksklusif dan menerima jemputan program pemanduan di beberapa litar di seluruh dunia.

Sebagai makluman, Lamborghini Sian FKP telah pun dihasilkan sebanyak 63 unit dan kesemuanya sudah pun habis terjual! Kami menjangkakan hal yang sama berlaku sewaktu pelancaran model SCV12 ini kelak..

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Versi Coupe yang dilancarkan terlebih dahulu hanya dihasilkan dalam 63 unit sahaja, manakala versi…
Gaya Hidup
LEGO Technic Lamborghini Sian FKP 37 telah pun diperlihatkan buat kali pertama pada Frankfurt Auto…
Berita Global
Bukan kami mahu kasihankan Lamborghini atas pemilihan nama itu, akan tetapi ia membawa petanda…