Opera Unica adalah hasil kerja bahagian tempahan khas Ad Personam dan Lamborghini Centro Stile.
Selain tempoh masa pengeluaran standard Revuelto, hasil warna pada Opera Unico memerlukan tambahan masa 475 jam oleh pakar.
Kaedah penghasilan warna khas Opera Unica:
- Pelitupan (masking) badan kereta dengan teliti untuk menyiapkannya sebagai kanvas mengecat
- Cat dua dan tiga tona diperhalusi dengan berus dan mengingatkan kepada ombak yang memukul cenuram
- Tiga warna biru berbeza digabungkan dan menggunakan berus dan spatula untuk menghasilkan kesan khas
- Diinspirasi dari lautan jernih Sardinia, buih air, ombak dan gua berair hitam gelap, warna biru yang gelap dan lembut diguna merentasi permukaan kereta
- Warna lembut Blu Tawaret digunakan sebagai lapisan asas pada panel depan dan bumbung
- Warna Blu Cepheus lebih terang digunakan untuk menghasilkan kesan pudaran (fading) dan pada panel belakang
- Blu Okeanos dijadikan warna biru ketiga untuk menghasilkan kesan pudaran lebih mendalam pada bonet dan sekeliling pemisah (splitter) depan
- Seretan tiga warna biru memperingatkan kepada warna firus biru (turquoise blue) yang berkilauan dalam cahaya biasan laut di atas pasir dan batu
- Warna hitam Nera Bocca turut menonjolkan badan kereta selain pemisah dan skirt sisi karbon berkilat
- Rim warna Hitam Kilat dan gosokan Diamond Polished Altanero
- Angkup brek Karbon Seramik warna hitam
- 85 jam diperlukan untuk menghasilkan peralatan baharu untuk menghasilkan kesan khas air pada bahagian dalam kereta
- Sulaman tiga tona Blu Amon, Blu Chepeus dan Bianco Leda
- Blu Delphinus dijadikan warna utama pada bahagian dalam dengan Blu Amon yang lebih lembut selain sulaman putih Bianco Leda
- Kaedah lapisan (coating) khas digunakan pada perkakasan seperti penutup butang Start/Stop dan plet nombor
Revuelto diperkenal pada Mac 2023 dan tidak lama dilancar di pasaran tempatan pada September.
Harga? Bermula dari RM 2.5 juta atau RM6.5 juta bergantung kepada tempat didaftarkan.
Walaupun Lamborghini sudah mempunyai kereta hibrid Sián sebelum ini, Revuelto adalah kereta hibrid pengeluaran besar-besaran pertama dari syarikat.
Revuelto memegang rekod sebagai kereta super V12 hibrid plug-in HPEV atau High Performance Electrified Vehicle pertama Lamborghini.
Enjin 6.5 liter V12 menghasilkan 814 kuasa kuda (hp) pada 9,250 rpm dan tork 725Nm pada 6,750 rpm.
Enjin V12 dipadan bersama tiga motor elektrik, dua di depan dan satu di belakang untuk pacuan semua roda dan kotak gear cekam berkembar lapan kelajuan.
Kacukan enjin petrol dan perkakasan elektrik menghasilkan 1,001 hp. Pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 2.5 saat dan kelajuan tertinggi melebihi 350 km/j.
Revuelto Opera Unica dengan ilham dari lautan Sardinia ini pula nampak laju walaupun tidak bergerak. Kereta ini juga objek seni yang laju!
Penulis: Muhammad Md Tajudin