Lamborghini Jarama GT, gaya 'cool' era 70an!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini Jarama GT
Lamborghini Jarama GT
Lamborghini bukan sekadar pembuat kereta eksotik dengan reka bentuk agresif dengan ngauman bunyi enjin dan ekzos yang nyaring.

Lamborghini sebenarnya banyak bermain dengan pelbagai jenis model berprestasi. Sebagai contoh pacuan empat roda lasak LM 002 yang berpuluh tahun kemudian membuka jalan kepada SUV Urus.

Ada dua kenyataan mengenai Urus, pertama ianya merupakan SUV dan kedua boleh memuatkan empat penumpang.

Katalah Lamborghini ingin mengeluarkan sedan atau coupe empat penumpang selepas ini, sama seperti LM 002, Lamborghini sebenarnya sudah ada model pembuka jalan.

Model itu adalah Urraco dan hadir dalam gayaan coupe 2+2 atau empat tempat duduk. Urraco diperkenal pada 1970 dan Lamborghini mempunyai sebuah lagi model iaitu Jarama GT.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lamborghini Jarama GT

 

Jarama dinamakan dari sebuah kawasan yang terletak di utara Madrid yang popular sebagai tempat pembiakan lembu jantan (fighting bull).

Jarama GT diperkenal buat kali pertama di Pameran Geneva pada Mac 1970 dan tahun ini memasuki ulang tahun ke-50.

Secara teknikal Jarama GT dibangunkan dari model 400 GT dan Islero terdahulu dan mengekalkan bentangan mekanikal yang sama.

Dari segi reka bentuk, Jarama GT adalah hasil rekaan Marcello Gandini dari Carrozzeria Bertone dan membawa gayaan era 70 dengan garisan tegang dan bersegi.

 

Lamborghini Jarama GT

 

Model ini turut menerima beberapa pembaharuan seperti brek cakera besar pada kesemua roda dengan bahagian depan jenis alih udara (ventilated).

Jarak trek dilebarkan sebanyak 10 sentimeter kepada 1,490 milimeter dan menggunakan roda magnesium Campagnolo 15 inci.

Enjin 3.9L V12 menggunakan karburetor Weber 40 DCOE dengan output kuasa 350 hp dan kelajuan maksimum 260 km/j.

Bahagian dalaman ground tourer ini tampil mewah dengan balutan kulit, penyaman udara dan ruang penumpang yang selesa untuk sebuah kereta sport dan juga ruang bagasi yang luas.

 

Lamborghini Jarama GT

 

Unit awal badan Jarama GT dipasang oleh Carrozzeria Marazzi di Caronno Pertusella (Varese) yang pada masa itu baru selesai mengeluarkan Lamborghini Islero.

Unit pengeluaran seterusnya dibuat di kilang milik Carrozzeria Bertone di Grugliasco (Turin).

100 unit terakhir Jarama dikeluarkan pada tahun 1972 diberi kepada dua firma dengan panel badan dibuat oleh Bertone dan dipasang di Marazzi.

Lamborghini kemudian mengeluarkan Jarama GTS dengan kuasa lebih tinggi iaitu 365 hp dan mempunyai beberapa lagi perbezaan seperti saluran udara pada hud dan dua outlet udara di belakang lengkungan roda depan.

Bahagian dalam pula datang dengan papan pemuka dan gugusan meter baharu termasuk kerusi depan yang direka semula untuk lebih ruang pada bahagian belakang.

Turut berbeza ialah roda aloi lebih ringkas dan tanpa nut tunggal tengah.

 

Lamborghini Jarama GT

 

Lamborghini Jarama GT hanya dikeluarkan sebanyak 176 unit dari 1970 hingga 1973 dan 152 unit untuk Jarama GTS dari 1972 hingga 1976.

Satu lagi keunikan Jarama apabila ia merupakan model grand tourer dengan enjin di depan yang terakhir dari Lamborghini.

Sejak dari itu kecuali LM 002 dan Urus, kesemua model Lamborghini menggunakan bentangan enjin di tengah, belakang (read mid engine layout).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini Jarama GT