Lamborghini Invencible, Autentica dilancarkan - supercar terakhir dengan nadi V12 tulen

oleh Mohamad Hanif|
Dua buah supercar binaan sekali (one-off) muncul dari Sant'Agata sebagai model penutup kepada keluarga supercar bernadikan V12 tulen, iaitu Invencible dan Autentica.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kedua-dua model ini dibangun menggunakan platform Aventador di mana rekaan luarannya banyak mengambil inspirasi daripada model binaan khas Lamborghini seperti Sesto Elemento, Reventon, Veneno dan Essenza SCV12.

Model coupe Invencible dilayangkan dengan warna Rosso Efesto sementara roadster Autentica pula dilayangkan dengan warna Grigio Titans.
 

V12


Di bahagian hadapan, Invencible dan Autentica ini membawakan unit lampu seakan seperti anak panah, rekaan hidung yang rendah lagi tajam, splitter, serta bonet berventilasi.

Sementara bahagian belakang pula menampilkan unit lampu heksagon, di mana tema yang sama turut dibawakan pada bahagian tip ekzos serta struktur diffuser yang mendedahkan sebahagian tayar belakang.

Membezakan antara kedua model ini ialah rekaan sayap belakang kekal pada model Invencible, sementara model Autentica pula dipasangkan dengan sirip berkembar pada bahagian tersebut, serta dua 'kubah' di belakang tempat duduk.
 

B12


Susun atur ruang kabin pula adalah hampir sama dengan mana-mana model Lamborghini berenjin V12, namun diserikan dengan corong pendingin hawa berbentuk heksagon, skrin kluster digital tanpa kehadiran skrin infotainmen di bahagian tengah, dan kemasan gentian karbon.

Seperti yang disebutkan, model kembar ini merupakan model terakhir yang dilengkapi dengan enjin V12 tulen tanpa sebarang bantuan elektrifikasi.
 

V12


Sama seperti model Ultimae, ia membawakan nadi aspirasi natural yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 769 hp dan 720 Nm, dipadankan dengan kotak gear ISR tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Dengan munculnya dua model terakhir ini, maka tamat sudah penawaran supercar berenjin V12 tulen daripada Lamborghini.

Nantikan sahaja kemunculan supercar generasi baharu yang akan membawakan trenkuasa V12 plug-in hybrid dalam tempoh beberapa minggu akan datang.