Lamborghini Huracán GT3 EVO2, dari Huracán STO ke litar lumba!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini Huracán GT3 EVO2
Lamborghini Huracán GT3 EVO2
Dibangunkan dari Huracán STO, Lamborghini memperkenalkan Huracán GT3 EVO2 yang dibuat khusus oleh Squadra Corse (bahagian permotoran Lamborghini) untuk litar lumba.

Berbanding Huracán GT3 EVO dahulu yang dibangunkan dari Huracán EVO, model ini mempunyai ciri aerodinamik dan sistem kemasukan baharu dan patuh sepenuhnya undang-undang teknikal FIA 2022.

Enjin 5.2L V10 dan pacuan roda belakang kekal sama seperti Huracán STO dan juga beberapa bahagian reka bentuk .

Di antaranya, rekaan skup udara heksagon dan sirip belakang dari Huracán STO yang menyumbang kepada sistem kemasukan lebih cekap dan keseimbangan kereta lebih baik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lamborghini Huracán GT3 EVO2

 

Skup udara itu disambung kepada snorkel dan menggantikan kemasukan udara sisi dan menghalakan laluan udara terus kepada enjin secara optimum.

Penggunaan badan pendikit (throttle body) dengan sepuluh gerakan elektronik (electronically actuated) meningkatkan lagi kecekapan enjin.

Enjin kereta lumba ini menggunakan injap titanium dan keseluruhan sistem direka oleh Squadra Corse dan dipasang hanya dengan empat skru.

Kaedah itu digunakan kali pertama pada Essenza SCV12 bagi memudahkan kerja penyelenggaraan.

 

Lamborghini Huracán GT3 EVO2

 

Bahagian badan dari gentian karbon direka dengan kerjasama Pusat Reka Bentuk atau Lamborghini Centro Stile.

Tahap kecekapan aerodinamik ditingkatkan dengan splitter baharu, peresap dan bahagian bawah kereta.

Kereta ini mempunyai lebih daya mendap berbanding GT3 EVO hasil penggunaan lantai gentian karbon dengan lapisan gentian Zylon berkekuatan tinggi dan peresap baharu.

Lagi inovasi ialah sayap atau spoiler belakang yang dipasang menggunakan tiang aluminium Ergal 7075 T6 ala STO. 

Tiang itu memberikan tahap pelarasan sayap yang lebih tepat berbanding model EVO.

 

Lamborghini Huracán GT3 EVO2

 

Bahagian dalam kereta lumba ini menggunakan rangka keselamatan rekaan baharu dengan tambahan dua tiang belakang dan panel sisi karbon Kevlar corak sarang lebah.

Ianya telah diuji di dalam Essenza SCV12 dan meningkatkan lagi tahap keselamatan apabila berlaku impak pada pintu dan selari dengan peraturan FIA 2022.

Tingkap sisi jenis plexiglas dilekatkan pada panel pintu gentian karbon dengan gugusan skru untuk lebih kuat dan tahan.

 

Lamborghini Huracán GT3 EVO2

 

Sistem pembrekan dipertingkatkan dengan angkup dan pad baharu yang direka oleh Squadra Corse bagi mengoptimumkan prestasi di dalam perlumbaan tahan lasak (endurance) dan pecutan.

Set itu bersama Kawalan Cengkaman (TCS) dan sistem brek anti kunci (ABS) direka supaya kereta senang dikawal dalam keadaan cengkaman rendah walaupun dikendalikan oleh pemandu biasa.

Menjamah litar ialah tayar PZero saiz 18 inci dengan ukuran 325/680 di depan dan 325/705 di belakang.

 

Lamborghini Huracán GT3 EVO2

 

Pelanggan yang menempah Huracán GT3 EVO2 akan menerima kereta mereka pada separuh tahun kedua 2022.

Pelanggan atau pasukan yang sudah memiliki Huracán GT3 EVO pula boleh menaik taraf kepada spesifikasi GT3 EVO2 menggunakan kit evolusi.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini Huracán GT3 EVO2