Lamborghini Huracan EVO RWD - tawar pemanduan yang lebih menyeronokkan!

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira setahun selepas pengenalan rasmi model supercar Huracan EVO, Lamborghini membawakan sebuah lagi varian Huracan, kali ini merupakan Huracan EVO dengan pacuan roda belakang (RWD).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dinamakan sebagai Huracan EVO Rear-Wheel Drive (RWD), Lamborghini mahu memastikan pemandu merasai sendiri pengalaman pemanduan yang lebih beremosi dan lebih dekat dengan jiwa.

Pengenalan semula model pacuan roda belakang ini sememangnya mengingatkan kita kepada model-model RWD Lamborghini yang lain, seperti Gallardo LP 550-2 serta model asal Huracan sebelum ini. 
 


Walaupun ia menggunakan nadi kuasa yang hampir sama dengan model Huracan EVO AWD, Lamborghini telah menala kembali enjin 5.2 liter bentangan V10 tersebut supaya menghasilkan 602 kuasa kuda dan 560 Nm daya kilas.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan dan didatangkan sekali dengan fungsi launch control.

Sebagai perbandingan, Huracan EVO AWD mampu menghamburkan 631 hp dan 600 Nm.
 


Dari segi pecutan, Huracan EVO RWD boleh mencapai kelajuan 100 km/j dalam masa 3.3 saat dan 0-200 km/j dalam 9.3 saat, dengan kelajuan tertinggi menyamai prestasi Huracan EVO AWD - 325 km/j.  

Memandangkan Huracan EVO RWD tiada pacuan semua roda, sistem stereng empat roda, dan sistem torque vectoring empat roda, ia memiliki berat bersih 1,389 kg sahaja, jika dibandingkan dengan Huracan EVO AWD (1,422 kg).

Menurut Lamborghini lagi, versi RWD ini sememangnya direka supaya mampu memberikan pemanduan yang lebih menyeronokkan, terutama di kedua-dua permukaan jalan yang basah dan kering. 
 


Terima kasih kepada ciri baharu Performance Traction Control System (P-TCS) yang telah dikalibrasi khusus untuk pacuan roda belakang memudahkan pemandu untuk melakukan aksi yang diingini - seperti drift.

Sistem ini menawarkan tiga mod pemanduan seperti: 

  • Strada - meminimumkan geseran pada roda belakang
  • Sport - membenarkan roda belakang berputar lebih pantas, menghasilkan sudut drift yang lebih besar
  • Corsa - mengoptimasikan kawalan cengkaman kenderaan ketika keluar selekoh
     


Untuk membezakan antara model RWD dan model Huracan EVO AWD, Lamborghini telah mengubah beberapa bahagian seperti penggunaan splitter hadapan baharu, sirip menegak pada liang kemasukan udara, serta bumper belakang dengan diffuser. 

Set rim Kari (ya, namanya Kari) bersaiz 19 inci dipasang pada keempat-empat sudut jentera ini dan dibaluti tayar Pirelli P Zero. 

Untuk anda yang mahukan lebih daripada ini, terdapat opsyen rim bersaiz 20 inci, set brek carbo-ceramic, serta set suspensi elektromagnetik "MagneRide" bagi menggantikan suspensi asal. 
 


Harga jualan bermula dari £137,000 (RM735,984), kira-kira £28,000 (RM150,420) lebih murah berbanding model Huracan EVO AWD di pasaran UK. 

Berita Berkenaan

Berita Global
Usah keliru, Lamborghini Huracan Evo ini bukanlah bertujuan untuk mengejar penjenayah macam filem…
Berita Global
Kit jigsaw puzzle 3D itu membenarkan peminatnya untuk memasang sebuah Lamborghini Huracan Evo…
Berita Global
Tunggu dulu, ada lagi sebuah model yang baharu sahaja dilancarkan oleh Lamborghini dan model…