Lamborghini Essenza SCV12 - hypercar 830 PS, eksklusif untuk litar sahaja, nisbah kuasa-berat 1.66 hp/kg!

oleh Mohamad Hanif|
Tidak pernah melupakan asal-usul jenama lembu tempur dari Itali yang garang beraksi di litar, Lamborghini semalam telah pun melancarkan secara rasmi model yang dikhususkan untuk kegunaan litar lumba, dinamakan sebagai Essenza SCV12.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Lamborghini Essenza SCV12 menampilkan enjin bentangan V12 aspirasi natural yang paling berkuasa pernah dihasilkan, 830 kuasa kuda yang dipadankan dengan transmisi jenis sekuential X-trac enam kelajuan yang direka menjadi sebahagian daripada elemen struktur casis untuk ketegaran maksimum disamping mengekalkan ciri saiz yang kompak.

Terima kasih kepada penggunaan casis monocoque gentian karbon generasi baharu yang ringan, kukuh tanpa memerlukan pemasangan sangkar keselamatan, Lamborghini SCV12 ini mampu menawarkan nisbah kuasa-berat yang amat impresif - 1.66 hp/kilogram!

 


Walaupun tanpa kehadiran sangkar keselamatan yang sepatutnya wajib untuk sebuah kereta litar, Essenza SCV12 merupakan kereta GT pertama yang dibangunkan mematuhi regulasi keselamatan kereta prototaip FIA yang membuktikan kekuatan casis gentian karbon tersebut.

Aspek aerodinamik turut diberikan penekanan di mana ia mengutip data perlumbaan daripada divisyen permotoran Lamborghini Squadra Corse bagi memastikan SCV12 mampu mencipta daya turun (downforce) yang lebih tinggi berbanding sebuah jentera GT3 - 1,200 kg pada kelajuan 250 km/j!

 


Bahagian hud menampilkan ruang kemasukan udara berkembar dengan central rib bagi mengasingkan aliran udara panas daripada radiator dan aliran udara sejuk ke skup udara di bumbung.

Sementara itu, di bahagian bumper hadapan terdapat pemasangan splitter dan sirip udara di bahagian sisi, diikuti dengan sirip menegak pada bahagian sisi sebelum diakhiri dengan sayap belakang profil berkembar boleh laras.

 


Untuk menyalurkan sisa-sisa pembakaran dari nadi V12 NA itu tadi, Lamborghini Essenza SCV12 menggunakan sistem ekzos jenis dual-exit yang telah direka semula bagi meningkatkan prestasi dan menghasilkan not bunyi yang lebih unik.

Aspek pengendalian menerima ciri suspensi belakang jenis push-rod yang dipasang terus kepada kotak gear, set rim magnesium 19 dan 20 inci yang dibaluti tayar slick Pirelli serta sistem brek daripada Brembo Motorsport.

Menurut Lamborghini lagi, struktur rangka badan yang serba ringan itu terbahagi kepada tiga komponen yang berbeza bagi membolehkan penggantian bahagian yang rosak dengan lebih mudah ketika sesi pit stop.

 


Menurut ketua pegawai teknikal Automobili Lamborghini, Maurizio Reggiani berkata, "Essenza SCV12 merupakan ekspresi terulung terhadap enjin aspirasi natural V12 yang menjadi simbol jenama sejak tahun 1963.

"Menerusi projek ini, kami berjaya menggandingkan usaha mencapai tahap kejuruteraan yang sempurna, aerodinamik yang lebih berkesan, rekaan futuristik dan solusi inovatif seperti casis monocoque tanpa sebarang sangkar keselamatan.

"Hasilnya, sebuah jentera yang sememangnya dilahirkan untuk berlumba dan menunjukkan karakteristik di dalam litar yang menjadikan jenama Lamborghini terkenal di seluruh dunia.

 


Para pelanggan yang membeli Lamborghini Essenza SCV12 akan diberikan penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada kelab eksklusif yang menawarkan akses kepada program pemanduan di litar berprestij di seluruh dunia.

Salah satu daripadanya adalah program garaj khas untuk menyimpan jentera di hangar yang akan dibina di Sant'Agata Bolognese, di mana setiap satu jentera akan diberikan garaj khusus, termasuklah sistem pemantauan 24 jam menerusi aplikasi peranti pintar.

Lamborghini juga turut menawarkan program latihan pemanduan 'Lamborghini Squadra Corse Drivers Lab' dengan menu yang menyamai apa yang diikuti oleh para pelumba rasmi perlumbaan Lamborghini.

Program khusus di litar hanya akan bermula pada tahun 2021 bertempat di beberapa litar homologasi FIA Grade 1, dan akan dibantu oleh staf teknikal Squadra Corse, Emanuele Pirro (juara lima kali 24 Hours Le Mans), dan pemandu kilang Lamborghini Squadra Corse Marco Mapelli.

 


Sebelum terlupa, Kelab Pemilik Lamborghini Essenza SCV12 hanya dihadkan kepada 40 orang yang terawal (dan terkaya) sahaja.

Berita Berkenaan

Berita Global
Selepas pelancaran model Aventador Ultimae yang dikatakan model V12 terakhir itu, Lamborghini…