Lamborghini Aventador SVJ 63 Roadster, 63 unit sahaja dan dah habis!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini Aventador SVJ 63 Roadster
Khusus buat pelanggan yang mahukan model eksklusif dari jenama eksotik, Lamborghini mempersembahkan kepada anda Aventador SVJ 63 Roadster. Model ini hanya dikeluarkan sebanyak 63 unit sahaja susulan pengenalan SVJ 63 coupé dengan nombor tersebut merujuk kepada tahun penubuhan Lamborghini iaitu 1963.

Aventador SVJ 63 Roadster adalah hasil daripada pasukan pereka Centro Stile (studio reka bentuk) dan jabatan Ad Personam (bahagian ubah suai peribadi) di mana pelanggan ditawarkan dengan lapan gayaan pada bahagian luar dan dalam kereta sebagai tanda eksklusiviti.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lamborghini Aventador SVJ 63 Roadster

 

Gayaan bahagian luar dibuat khusus untuk model Roadster dengan warna gentian karbon kusam (matt) atau kilat pada atas kereta seperti bumbung, penutup enjin, saluran udara enjin dan cermin sisi. Kemasan titanium kusam dikenakan pada roda Leirion dan lagi identiti utama ialah melalui grafik SVJ 63 pada bahagian depan dan sisi kereta. 

Pada bahagian dalaman, pembeli ditawarkan tiga pilihan warna untuk balutan Alcantara dan elemen gentian karbon pada keseluruhan kokpit dan juga CarbonSkin iaitu sejenis bahan gentian karbon yang dibangunkan dan dipaten oleh Lamborghini.

Logo pada stereng dan angka 63 pada dinding belakang kerusi adalah identiti unit terhad model ini.

 

Lamborghini Aventador SVJ 63 Roadster

 

Dari segi kuasa, SVJ merujuk kepada Super Veloce yang bermaksud superfast manakala Jota pula adalah prestasi kereta dan keperkasaan di litar lumba. Kembar model ini iaitu SVJ Coupé mencatatkan rekod kereta produksi terpantas di Nürburgring-Nordschleife.

Angka kuasa model tersebut ialah 759 hp pada 8,500 rpm maksimum dengan 720 Nm tork pada 6,750 rpm. Daya pecutan SVJ Roadster dari 0 hingga 100 km/j hanya mengambil masa 2.9 saat manakala 0 hingga 200 km/j pula dalam masa 8.8 saat.

Model ini mampu memecut lebih daripada 350 km/j manakala keupayaan membrek dari 100 km/j hingga 0 mengambil jarak 31 meter.

 

Lamborghini Aventador SVJ 63 Roadster

 

Kepada yang berminat, harap maaf kerana kesemua 63 unit Aventador SVJ Roadster edisi terhad ini sudah pun habis dijual kepada pelanggan di serata dunia.

Penghantaran kepada pelanggan akan bermula dari tahun 2020 dan ke atas.

Penulis: Muhammad Md Tajudin