Laman Hijau perkukuh inisiatif hijau Perodua

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Perodua telah membawa inisiatif hijaunya ke tahap yang seterusnya dengan pelancaran Laman Hijau baru-baru ini, membuktikan komitmennya terhadap operasi hijau, mesra alam dan mampan.

Terletak di kampus ibu pejabat dan pengeluaran Perodua di Sungai Choh, Laman Hijau merupakan kawasan rekreasi terbuka untuk kakitangannya yang dihiaskan dengan tumbuhan hijau serta air pancut yang dikuasakan dengan tenaga elektrik suria (solar electricity).

“Inisiatif hijau ini termasuk pemasangan panel suria di atas bumbung kilang pengeluaran kami, dan kami akan memasang panel suria di kebanyakan bangunan di kampus kami. Kemudahan bilik loker kakitangan baharu kami, Lemari, juga menggunakan dinding hijau untuk penebatan semulajadi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

 

 

Kampus 400 ekar (162 hektar) Perodua terdiri daripada bangunan korporat, fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D), dua kilang pengeluaran kenderaan, pusat alat ganti, pusat latihan dan pusat jagaan kanak-kanak.

“Inisiatif hijau kami tidak berakhir di sini sahaja – kami juga mengumpul dan mengguna semula sumber semulajadi lain seperti air hujan dan air atmosfera, di samping melanjutkan usaha kami untuk mengurangkan pembaziran, melindungi bumi kita dan meningkatkan kecekapan operasi kami.

“Seiring dengan produk kami yang cekap bahan api, inilah cara kami memastikan pertumbuhan yang mampan dalam ekosistem semulajadi kita,” tambah Dato’ Zainal.

 

 

Inisiatif hijau Perodua bermula pada Jun 2017 dengan pengumuman Taman ECO yang bakal dilancarkan bulan hadapan. Taman seluas 1,500 meter persegi ini menggunakan bahan kitar semula dalam pembinaannya, tenaga suria serta pelbagai tumbuh-tumbuhan.

“Sejak itu, kami telah melaksanakan amalan terbaik untuk operasi yang mampan dengan tujuan memelihara alam sekitar dan memaksimumkan kecekapan kami.

“Industri kami bergantung kepada tenaga dan sumber. Oleh itu, kita harus sentiasa mencari kaedah baharu untuk menggunakan tenaga dengan lebih cekap jika kami inginkan Malaysia yang lebih bersih dan hijau untuk kita semua,” kata Dato’ Zainal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua menjelaskan bahawa selain daripada kemampanan alam sekitar, inisiatif hijau Perodua juga termasuk penambahbaikan yang berterusan terhadap keselamatan dan operasi untuk memastikan pergerakan yang lancar dalam lingkungan Kumpulan Syarikat Perodua.

Perodua merupakan pengeluar Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) No 1 di Malaysia. Setakat ini, ia telah menghasilkan dan menjual lebih 650,000 EEV, termasuk Axia, Bezza, Myvi generasi ketiga serta SUV tujuh-tempat duduk, Aruz.