Laluan sikal Lebuhraya Persekutuan terima peruntukan RM3.13 juta

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Setelah puas dikecam media sosial, akhirnya Kementerian Kerja Raya (KKR) akur dan memperuntukan sejumlah RM3.13 juta untuk penambahbaikan dan baik-pulih lorong sikal di bawah selian kementerian tersebut di sepanjang Lebuhraya Persekutuan. Laporan akhbar The Star  menyebut Menteri di Kementerian tersebut, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan tersebut termasuk kos memasang lampu di kawasan gelap, memasang rumah pam air di kawasan yang sering berlaku banjir kilat, mengecat garisan jalan dan dinding terowong, membina jambatan, menambah papantanda dan membaiki keadaan persimpangan. Beliau berkata demikian kepada para pemberita setelah melawat laluan sikal berhampiran plaza tol Batu Tiga semalam. Lebuhraya Persekutuan yang sepanjang 28.5 km itu ialah lebuhraya pertama di dalam negara yang mempunyai laluan sikal. Ia diselenggarakan oleh JKR (8.1 km), DBKL (2.4km) dan PLUS (16 km). Tidak diketahui samada agensi lain akan mengikuti jejak langkah KKR untuk membaik pulih laluan sikal di kawasan seliaan mereka. Fadillah turut menggesa agar pengguna jalanraya membuat laporan kerosakan melalui aplikasi telefon bimbit Aduan Jalan KKR. Aplikasi itu sudah mempunyai seramai 5,000 pengguna sejak dilancarkan Mac tahun lalu. Pendapat Careta, laluan sikal itu pastinya digunakan oleh kakitangan KKR sendiri dan isu itu telah lama dinaikan. Dan aplikasi yang telah dilancarkan tahun lalu sepatutnya mendapat lebih dari 5,000 orang pengguna. Laluan sikal seperti di lebuhraya Kesas juga perlu dipantau kerana rekabentuk jalan yang merbahaya dan keadaan gelap di waktu malam. Laluan sikal di Putrajaya pula seperti diabaikan dan langsung tidak digunakan - seolah menjadi "pembaziran yang dibenarkan" kepada negara. Apa pun, terima kasih KKR. Harap laluan sikal di seluruh negara selepas ini akan diselenggara dengan baik dan jangan sehingga penunggang motosikal menganggap nyawa mereka tidak dihargai. *Gambar utama diambil dari laman Facebook Lando Zawawi Vrus. Seorang pelakon dan peminat motosikal, Lando sangat aktif dalam memperjuangkan hak penunggang motosikal di Malaysia. Syabas Lando kerana usaha anda telah dilihat olhe pihak kerajaan dan membantu kami pengguna jalanraya. Gambar menunjukan Lando (dengan bandana di kepala) bersalaman dengan Menteri KKR, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika melihat keadaan laluan sikal semalam.