Laluan LRT Shah Alam dibekal elektrik bervoltan tinggi TNB

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Bernama melaporkan hari ini (Ahad) bahawa Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menjalin kerjasama strategik dengan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bermula akhir 2022.


Kerjasama ini adalah untuk membekalkan bekalan elektrik bervoltan tinggi kepada tiga stesen suis utama di sepanjang Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam.

 

Menurut kenyataan itu, LRT Laluan Shah Alam yang dahulunya dikenali sebagai LRT3 dijangka beroperasi serta dibuka kepada orang ramai menjelang 2025.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Baharin Din, berkata syarikat utiliti itu bersedia memberi kerjasama kepada Prasarana dalam membangunkan lagi industri pengangkutan di Malaysia, terutamanya dari segi menyediakan bekalan elektrik berdaya harap dan stabil kepada bekalan rel sepanjang LRT Laluan Shah Alam.


Baharin berkata TNB telah beriltizam untuk menyegerakan peralihan tenaga yang merangkumi usaha meningkatkan nilai perusahaan portfolio penjanaan untuk grid masa depan dan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik.


Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata bahawa kepakaran dan kemampuan TNB untuk menyalurkan bekalan elektrik yang berdaya harap amat kritikal dalam memastikan Prasarana mampu melaksanakan mandat pengangkutan awam organisasi itu.


"Projek LRT Laluan Shah Alam merupakan sebahagian daripada Pelan Bersepadu Pengangkutan Awam untuk Greater Klang Valley dan Prasarana diberi mandat untuk memberi kemudahan dan mengetengahkan serta menerapkan sistem pengangkutan awam darat yang terancang, selamat, responsif, efisien dan mampan," katanya.


Majlis Penyerahan Perjanjian Pembekalan Elektrik telah diadakan pada bulan lalu.

 

gambar hiasan

 

Jajaran LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer (km) menyasarkan jaringan perhubungan untuk dua juta penduduk di Koridor Barat Lembah Klang iaitu dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang melalui tiga kawasan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang.


Sebanyak 20 stesen termasuk dua stesen integrasi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang di Bandar Utama serta stesen integrasi LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie 2 merangkumi jajaran itu, katanya.


Selain itu, menurut kedua-dua pihak, projek tersebut berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sepenuh masa kepada lebih 5,900 orang pekerja.


Untuk makluman sejak 1996, TNB telah menyediakan bekalan elektrik bervoltan tinggi kepada Prasarana di

- LRT 1 (Laluan Ampang dan Sri Petaling) sepanjang 45 km dengan bekalan 29.32 megawatt (MW)
- LRT2 atau Laluan Kelana Jaya (46.4 km, 58.35 MW) sejak 1997 dan 
- Monorel (8.6 km, 7.16 MW) sejak 2001. 
- MRT1 atau Laluan Kajang sepanjang 51 km, 80.6 MW sejak 2016
- MRT2 atau Laluan Putrajaya (57.7 km, 36.81 MW) sejak 2019.

 

 

 

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Kita harap ramai kalangan OKU menggunakan keistimewaan ini bersiar-siar di ibu negara menaiki…
Berita Domestik
  Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata melalui KLAV 27, kerajaan melalui…
Berita Domestik
Prasarana dalam kenyataan memaklumkan pihaknya belum mengenal pasti tarikh, masa dan lokasi…