Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, tiada kesesakan luar biasa direkodkan sama ada di stesen mahupun di dalam tren. Perkhidmatan juga beroperasi dengan kekerapan waktu puncak seperti biasa.
Kemas Kini Media Sosial Bukan Tanda Gangguan
Rapid Rail menjelaskan bahawa kemas kini di media sosial berkaitan pengeluaran beberapa tren daripada perkhidmatan adalah sebahagian daripada amalan ketelusan operator dalam memaklumkan pelarasan operasi secara masa nyata kepada penumpang.
Pengeluaran tren tersebut bukan sesuatu yang luar biasa. Ia merupakan prosedur operasi dan keselamatan standard. Tren boleh dikeluarkan sementara bagi tujuan pembaikan kecil termasuk isu prestasi penyaman udara atau sistem teknikal lain di dalam tren. Langkah ini diambil bagi memastikan tahap keselamatan, keselesaan serta kualiti perkhidmatan sentiasa terpelihara.
Langkah Mitigasi Pastikan Headway Kekal Stabil
Rapid Rail turut memaklumkan bahawa setiap kali tren dikeluarkan daripada perkhidmatan, langkah mitigasi akan dilaksanakan termasuk menggerakkan tren gantian sekiranya perlu. Ini bagi memastikan selang masa perjalanan atau headway kekal mengikut kekerapan waktu puncak dan tidak menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan.
Dalam masa sama, pihak operator menegaskan bahawa ketelusan operasi tidak seharusnya disalah tafsir sebagai gangguan perkhidmatan. Sebagai pengendali di bawah jenama Rapid KL, Rapid Rail komited memastikan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan cekap, di samping terus menyalurkan maklumat tepat melalui saluran komunikasi rasmi.