Laluan ke Stesen KTMB Arau tidak boleh diakses akibat banjir

oleh Penyumbang Rencana|
foto Bernama
Laluan ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Arau di Kangar, tidak boleh diakses akibat banjir pada Selasa.

Berikutan itu, penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang menggunakan stesen itu boleh naik dan turun tren di Stesen KTMB Kodiang, Kedah sehingga keadaan kembali pulih.

KTMB dalam hantaran di Facebook pada Selasa memaklumkan penyesuaian itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan penumpang ke stesen.

"Hebahan awal turut dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan yang terkesan bagi memaklumkan pertukaran lokasi stesen... kakitangan KTMB berada di Stesen Kodiang bagi membantu dan menyelaras pergerakan penumpang, memastikan proses berjalan lancar dan teratur," menurut hantaran itu.

Menurut KTMB, pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca dan paras air serta mengemas kini perkembangan situasi melalui saluran media sosial rasmi dari semasa ke semasa.

Hantaran itu memaklumkan buat masa ini, perkhidmatan tren ETS masih beroperasi seperti biasa namun tertakluk kepada situasi semasa di sektor utara.

Di Alor Setar, laluan arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan di Kilometer 28.3-KM28.4 antara Dewan Wawasan ke Jitra ditutup sementara berikutan peningkatan paras air akibat banjir.

Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu menerusi hantaran di Facebook meminta pengguna lebuh raya itu menggunakan laluan keluar melalui susur Malau-Jitra dan masuk semula ke lebuh raya melalui susur masuk Darulaman.

Polis menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan, memandu dengan berhemah dan mengelak dari melalui kawasan yang dinaiki air.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Biasanya kami tidak buat extension (melanjutkan insurans sedia ada di Malaysia bagi perlindungan…
Berita Domestik
"Selalunya kami dapat menjual kira-kira 1,000 pakej insurans setiap hari dari Jumaat hingga Ahad…
Informasi
“Antara gambar kereta mangsa yang sempat diambil, semoga bertabahlah. Banyak lagi yang terkandas…