Kurumask - 'Topeng' untuk kereta Honda, mampu tapis 99.8 peratus virus!

oleh Mohamad Hanif|
Di tengah-tengah wabak pandemik COVID-19 yang masih belum reda ini, terdapat beberapa pengeluar yang sudah mula mengintegrasikan penapis udara untuk ruang kabin kenderaan mereka.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Honda pula telah membangunkan sebuah 'topeng' khusus untuk penapis udara yang digelar sebagai Kurumask (Kuruma (kereta dalam bahasa Jepun) + mask) yang dikatakan mampu menapis 99.8 peratus virus bawaan udara dalam masa 15 minit.

Dalam satu ujian bagi mengesan kehadiran molekul E.coli mendapati penapis udara yang dilengkapi dengan Kurumask mampu membuang 99.8 peratus droplet virus dalam tempoh 15 minit, dan 99.9 peratus dalam tempoh 24 jam.

Ujian tersebut menggunakan Honda N-Box di mana ruang kabin telah diaktifkan mod pengedaran udara dalaman bagi mengurangkan kemasukan udara luar ke dalam kabin.

 


Menurut Honda lagi, Kurumask sememangnya bertindak sebagai sebuah topeng kepada penapis udara dan terbukti berkesan untuk jangka masa satu tahun.

Pasukan di sebalik Kurumask ini mengambil inspirasi daripada sayap pepatung, di mana serangga itu mempunyai struktur yang digelar sebagai lonjakan mikroskopik bagi memastikan sayap mereka kekal bersih.

Lonjakan mikroskopik itu kemudian diadaptasi pada Kurumask bagi menangkap dan memusnahkan virus yang melepasi 'topeng' tersebut.

Kurumask pertama kali diperlihatkan pada Honda N-Box 25 Disember lalu, dan ia akan diperluaskan untuk model-model Honda yang lain pada masa akan datang.