Di Eropah, Kumpulan VW kekal sebagai peneraju pasaran EV yang dominan dengan penguasaan pasaran sekitar 27 peratus.
Dengan portfolio produk yang besar, tawaran elektrik kumpulan kini merangkumi kereta kompak hingga ke trak elektrik yang besar.
Evolusi Strategi Elektrifikasi Sejak 2013
Perjalanan elektrik kumpulan bermula lebih sedekad lalu melalui pelancaran model Volkswagen e-up! pada tahun 2013, yang kemudiannya diikuti oleh model e-Golf pada 2014.
Namun, lonjakan sebenar bermula pada tahun 2019 menerusi serangan produk merentas pelbagai jenama yang menggunakan platform khas Modular Electric Drive Matrix atau MEB.
Sehingga kini, kira-kira tiga juta unit kenderaan yang menggunakan platform MEB telah diserahkan, sekali gus menjadikannya tulang belakang kepada pertumbuhan EV kumpulan.
Apa yang menarik, sejuta unit EV pertama mengambil masa sepuluh tahun untuk diserahkan, namun sejuta unit keempat hanya memerlukan masa satu tahun sahaja.
Portfolio Produk dan Penguasaan Jenama
Dalam masa dua tahun kebelakangan ini, Kumpulan VW telah melancarkan sekitar 60 model baharu dengan satu pertiga daripadanya adalah EV
Kini, terdapat lebih 30 pilihan model BEV untuk pelanggan dalam segmen kereta penumpang, bermula daripada model kompak sehingga SUV mewah.
Sektor komersial juga tidak ketinggalan dengan tawaran trak dan bas elektrik daripada jenama TRATON iaitu Scania, MAN, International dan Volkswagen Truck and Bus.
Pecahan penyerahan mengikut kumpulan jenama adalah seperti berikut:
- Brand Group Core: 72 peratus daripada jumlah keseluruhan EV. VW menyerahkan sekitar 2 juta unit, Škoda sebanyak 480 ribu unit, SEAT/CUPRA sebanyak 230 ribu unit dan Volkswagen Commercial Vehicles 140 ribu unit.
- Brand Group Progressive: Jenama Audi menyerahkan 870 ribu unit model premium, merangkumi kira-kira 22 peratus daripada jumlah keseluruhan.
- Brand Group Sport Luxury: Jenama Porsche menyerahkan 250,000 unit kenderaan kepada pelanggan.
- Brand Group Trucks: Menyumbang sekitar 11,000 unit atau 0.3 peratus daripada jumlah penyerahan.
Rangkaian Pengeluaran Dunia
Kumpulan VW kini mengendalikan lebih 20 lokasi pengeluaran EV di peringkat global.
Sebanyak 77 peratus daripada empat juta EV tersebut dihasilkan di Eropah menerusi 11 kemudahan pengeluaran utama.
Lokasi tersebut termasuk Emden, Zwickau, Hanover, Bratislava, Mlada Boleslav, Ingolstadt, Neckarsulm, Leipzig, Zuffenhausen, Munich dan Södertälje.
Dua lagi lokasi iaitu Pamplona dan Martorell sedang bersedia untuk mengeluarkan model Electric Urban Car Family.
Kilang utama di Wolfsburg dan kilang Bentley di Crewe juga sedang dalam fasa persediaan pengeluaran.
Di luar Eropah, satu daripada lima EV dihasilkan di China menerusi empat kilang di Anting, Foshan, Hefei dan Changchun.
Selain itu, pengeluaran turut berjalan di Chattanooga dan Tulsa di Amerika Syarikat, manakala pengeluaran kenderaan komersial elektrik telah dimulakan di Sao Paulo, Brazil.
Prestasi Pasaran dan Model Popular
Pasaran Eropah, China dan Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran teras dengan menyumbang 95 peratus daripada keseluruhan penyerahan EV.
Eropah memegang bahagian terbesar sebanyak 68 peratus, diikuti China sebanyak 20 peratus dan Amerika Syarikat sebanyak 8 peratus.
Lima model kenderaan Kumpulan berada dalam senarai 10 model EV terbaik di Eropah.
Secara keseluruhan pada tahun 2025, Kumpulan VW menyerahkan 8,980,000 kenderaan di seluruh dunia, susut 0.5 peratus berbanding 9,030,000 unit pada tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, penyerahan EV mencatatkan peningkatan 32 peratus kepada 983,100 unit berbanding 744,600 unit tahun sebelumnya.
Ini melonjakkan bahagian pasaran EV global daripada 8 peratus kepada 11 peratus.
Pertumbuhan EV di Eropah melonjak 66 peratus dan di Amerika Syarikat meningkat 46 peratus.
Di China, berlaku penurunan 44 peratus seperti yang dirancang sebagai persediaan untuk pelancaran model elektrik baharu yang dibangunkan secara tempatan.
Statistik model dan segmen paling popular:
- Pasaran jualan: Lebih 150 buah negara
- VW ID.4/ID.5: 901,000 unit
- VW ID.3: 628,000 unit
- Audi Q4 e-tron (termasuk Sportback): 387,000 unit
- Škoda Enyaq (termasuk Coupé): 352,000 unit
- Audi e-tron/Q8 e-tron (termasuk Sportback): 255,000 unit
- Porsche Taycan (termasuk Turismo): 177,000 unit
- CUPRA Born: 172,000 unit
- VW e-Golf: 152,000 unit
- VW ID. Buzz (termasuk Cargo): 132,000 unit
- VW ID.7 (termasuk Tourer): 132,000 unit
- Segmen paling popular: Model kompak (70 peratus daripada penyerahan)
- Segmen badan paling popular: SUV dan Crossover (Melebihi 50 peratus daripada penyerahan)
Penulis: Muhammad Md Tajudin
