KTM 250 Adventure, 390 Adventure dilancarkan - bermula dari RM21,500

oleh Mohamad Hanif|
Bertempat di Genting Highlands semalam, dua buah motosikal baharu di dalam segmen dual-sport/lightweight adventure dilancarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu KTM 250 Adventure 2021 dan KTM 390 Adventure 2021.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Antara kelebihan yang ditawarkan pada kedua-dua model adalah berat badan yang ringan, serta elemen rekaan yang terdapat pada model 790 Adventure yang lebih besar seperti tangki bahan api yang kecil, seksyen tengah yang lebih ramping, serta pelindung sisi dan lampu utama dengan rekaan yang serupa.

 

KTM 250 Adventure 2021


Motosikal kembara yang sesuai digunakan oleh kebanyakan pemegang lesen B2 tanpa perlu menaiktaraf kepada lesen B penuh.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 248.8 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 30 kuasa kuda dan 24 Nm daya kilas, dibantu dengan sistem klac slipper PASC.

Dengan berat sekitar 156 kg dan tinggi tempat duduk sekitar 830 mm, kerangka KTM 250 Adventure ini diadaptasi daripada jentera KTM 450 Rally yang digunakan pada perlumbaan Rali Dakar, diikuti dengan hasil kerja badan yang tahan pudar walaupun tercalar.

 


Sistem suspensi menggunakan fork hadapan WP Apex 43 mm dengan jarak pergerakan 173 mm, dibantu dengan suspensi monoshock WP Apex yang memiliki jarak pergerakan 177 mm.

Sistem brek pula menggunakan cakera 320 mm dengan angkup brek empat omboh di hadapan, dibantu dengan kelengkapan elektronik seperti Off-Road ABS.

Harga jualan bermula dari RM21,500.
 

KTM 390 Adventure 2021


Seperti barisan model Duke, KTM turut menawarkan model 390 Adventure dengan penawaran kuasa dan daya kilas yang lebih berbanding model 250 Adventure.

Selain daripada itu, KTM 390 Adventure mempunyai kelebihan berat 2 kg sahaja berbanding model 250 Adventure.

Nadi kuasa 373 cc silinder tunggal sejukan cecair itu mampu menghasilkan 43 kuasa kuda dan daya kilas 37 Nm, dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan.

 


Selain daripada kerangka yang dibangunkan berdasarkan KTM 450 Rally, KTM 390 Adventure mendapat lebih kelengkapan elektronik seperti Motorcycle Traction Control (MTC), mod tunggangan, Off-road ABS dan Cornering ABS.

Segala informasi penting dipaparkan menerusi paparan TFT berwarna yang turut menyokong opsyen KTM MY RIDE yang menawarkan sistem navigasi turn-by-turn.

Harga jualan KTM 390 Adventure bermula dari RM30,800.