KTM 200 Duke rasmi dilancarkan - bermula dari RM12,888

oleh Mohamad Hanif|
Merancakkan lagi segmen motosikal naked bersesaran bawah suku liter di Malaysia adalah kehadiran model terbaharu KTM 200 Duke yang baharu sahaja dilancarkan baru-baru ini.

Motosikal ini membawakan reka bentuk yang sinonim dengan identiti DUKE, dilengkapi dengan casis tubular yang serba ringan, serta menawarkan enjin empat lejang paling berkuasa di dalam kelasnya.

 


Enjin yang dimaksudkan adalah nadi silinder tunggal bersesaran 200cc yang menghasilkan 26 kuasa kuda dan 19.5 Nm @ 8,000 rpm, terima kasih kepada kotak udara dan ekzos yang telah ditala semula bagi memastikan ia mematuhi standard piawaian pelepasan emisi dan dalam masa yang sama menawarkan prestasi yang memberangsangkan.

Sistem transmisi pula adalah jenis manual enam kelajuan, manakala sistem suspensi depan dan belakang pula adalah daripada WP suspension.

 


Sistem pemberhentian BYBRE pula terdiri daripada brek cakera 300 mm dan angkup brek empat omboh di hadapan, serta brek cakera 230 mm dengan angkup brek omboh tunggal di belakang.

Sistem ABS saluran tunggal daripada Bosch memastikan penunggang memiliki kawalan pemberhentian yang mencukupi ketika keadaan memerlukan.

 


Selain daripada rekaan yang agresif, KTM 200 DUKE dilengkapi dengan unit lampu utama baharu, lampu belakang LED, serta skrin paparan LCD yang memaparkan informasi seperti posisi gear, indikasi RPM, kapasiti tangki bahan api dan peringatan servis berkala.

Kapasiti tangki bahan api pula adalah sebesar 13.4 liter sementara ketinggian pelana pula adalah 800 mm.

 


Harga jualan bermula dari RM12,888.