KTM 1290 Super Adventure S rasmi dilancarkan - RM132,800

oleh Mohamad Hanif|
KTM Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan sebuah model baharu kategori adventure-tourer iaitu KTM 1290 Super Adventure S untuk pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi kuasa, KTM 1290 Super Adventure S ini didatangkan dengan enjin LC8 V-Twin yang berupaya menghasilkan 160 kuasa kuda dan 138 Nm yang dipadankan dengan transmisi Pankl enam kelajuan dan ciri Quickshifter+ untuk penukaran gear yang lebih pantas dan lancar.

Generasi ketiga motosikal ini turut mendapat perubahan kepada kerangka casis termasuklah lengan ayun yang telah dipanjangkan sebanyak 15 mm untuk kestabilan tunggangan.

 


Sistem suspensi termaju WP Semi-Active Suspension (SAT) pula menampilkan unit kawalan injap magnet eletronik yang mampu menawarkan pelbagai jenis tetapan untuk keselesaan dan keselamatan tunggangan.

Aspek pemberhentian jentera ini diserahkan kepada unit brek Brembo yang terdiri daripada angkup empat omboh dengan rotor 320 mm berkembar di bahagian hadapan, diikuti dengan rotor bersaiz 267 mm di bahagian belakang, serta dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran 10.3ME.

 


Tangki bahan api pula adalah rekaan baharu bersaiz 23 liter di mana ia kini turut menampilkan ruang storan yang lengkap dengan slot pengecasan USB dan boleh memuatkan peranti pintar, kaca mata gelap atau pun dompet.

Untuk keselesaan tunggangan, anda boleh menetapkan beberapa ciri seperti ketinggian cermin hadapan, ketinggian pelana pula boleh diubah daripada 849 mm kepada 869 mm bergantung kepada kehendak penunggang, dan ia dibantu dengan posisi tempat pemijak yang juga boleh diubah ketinggiannya.

 


Skrin TFT bersaiz tujuh inci itu pula menawarkan grafik yang mudah untuk dibaca serta boleh dilaras sudut pandangannya, selain menyokong sambungan kepada peranti pintar menggunakan Bluetooth, dan aplikasi KTM MY RIDE.

Ciri bantuan elektronik pula terdiri daripada Motorcycle Stability Control (MSC) oleh Bosch, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kawalan cengkaman motosikal (MTC), kawalan cengkaman Off-road, ABS off-road, serta kawalan jelajah adaptif menggunakan bantuan radar.

 


Harga jualan untuk pasaran Malaysia bermula dari RM132,800.