Krisis tenaga di Eropah, Bosch beri amaran kepada industri EV

oleh Mohamad Hanif|
Masalah krisis tenaga yang sedang berlaku di Eropah sememangnya memberikan satu pengajaran yang besar berhubung risiko terlalu bergantung kepada satu sumber tenaga sahaja, seperti yang ditunjukkan oleh industri kenderaan elektrik terhadap sel bateri.

Berdasarkan laporan Bloomberg, ketua perkhidmatan mobiliti Robert Bosch GmbH, Markus Heyn memberitahu akhbar Stuttgarter Zeitung, "kita sedang melihat kesan akibat kekurangan bekalan tenaga di Jerman dan Eropah disebabkan penyediaan alternatif yang tidak mencukupi.

"Dalam industri automotif, kita perlu melihat keadaan ini untuk bertanyakan kepada diri sendiri apa yang harus dilakukan sekiranya terdapat terlalu sikit sel bateri.

Krisis tenaga yang berlaku pada ketika ini adalah disebabkan oleh tindakan Rusia menutup paip Nord Stream 1 yang menyalurkan bekalan metana ke Eropah.

Kesannya, harga kos elektrik kian meningkat, penduduk kesejukan di rumah dan kebanyakan kilang sukar untuk menghasilkan produk disebabkan oleh sekatan tenaga.
 

Bosch


Jelasnya lagi, "setiap orang ingin melihat alternatif kepada kuasa bateri, namun ia hanya akan wujud sekiranya kita mempunyai cukup masa untuk menyediakannya.

Salah satu alternatif yang disebut oleh Heyn termasuklah sel bahan api yang menggunakan hidrogen dan oksigen untuk menghasilkan kuasa elektrik.

Tambahnya, infrastruktur yang sedang dibangunkan untuk trak jarak jauh sangat sesuai untuk digunakan sebagai 'tulang belakang' untuk kegunaan kereta penumpang.

Teknologi bateri merupakan antara penyumbang utama kos pemilikan kenderaan elektrik yang masih lagi tinggi, dan dengan peningkatan kos bahan mentah pada ketika ini, ia akan menyukarkan lagi usaha pengeluar untuk menawarkan harga jualan yang sama murah dengan kereta berenjin pembakaran dalaman.

Sumber: Bloomberg