KPKT - Ambulans udara bakal diwujudkan menjelang akhir tahun ini

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan/gambar kecil Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewujudkan perkhidmatan ambulans udara dengan menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).


Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif tersebut sekiranya dapat direalisasikan menjelang akhir tahun ini akan menjimatkan perbelajaan kerajaan sekurang-kurangnya RM15 juta setahun.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

 

Perkhidmatan ambulans udara, antara lain, adalah bagi usaha menyelamat mangsa di kawasan pendalaman dan kes kemalangan jalan raya di lebuh raya.

 

"Satu penggal, lima tahun kita boleh jimat RM75 juta kerana amalan kerajaan dahulu, dia outsource (sumber luar) kepada sektor swasta, kosnya RM20 juta setahun.

"Apabila JBPM ambil alih, setahun boleh jimat RM15 juta dan ini adalah satu lagi inisiatif menuju ke arah Malaysia Madani,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

 

Sementara itu, Kor Ming memaklumkan jumlah tunggakan bayaran perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSP&PA) oleh beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kini berjumlah RM538.26 juta.

 

Beliau berkata, pada tahun lalu sahaja, perbelanjaan PSP&PA bagi tujuh negeri yang diuruskan SWCorp mencecah hampir RM2 bilion dengan RM1.32 bilion adalah daripada Kerajaan Persekutuan dan RM680 juta daripada PBT.

 

"Bagaimanapun, kerajaan menyediakan RM10 juta bagi PBT yang tidak berkemampuan iaitu hasil tahunan kurang RM10 juta setahun,” katanya.

 

Kor Ming berkata, jumlah kos pengurusan sisa pepejal PBT adalah berbeza mengikut saiz dan berdasarkan rekod kementerian, jumlah perbelanjaan pengurusan sisa pepejal adalah 30 hingga 80 peratus daripada hasil PBT.

 

Beliau berkata, kementerian bersedia mengkaji semula kaedah pengurusan sisa tersebut dan semakan semula perjanjian konsesi hanya boleh dibuat seawal 2025 dengan perjanjian itu akan berakhir pada 2033.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM1.7 bilion bagi kementerian berkenaan dalam Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti.

 

 

Bernama