KPDNHEP - "Zero downpayment" jual beli kenderaan boleh diambil tindakan, denda di antara RM25K - RM250K

oleh SALINA JALIL|
Syarikat jual kenderaan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk didakwa di mahkamah jika menawarkan kemudahan sifar wang pendahuluan (zero downpayment) bagi perjanjian sewa beli (HPA).


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid memberi amaran kepada syarikat menjual kenderaan yang menggunakan taktik menawarkan sifar wang pendahuluan bagi urusan jual beli kenderaan membabitkan perjanjian sewa beli dengan pihak bank adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas.

 

Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 31 (1) Akta Sewa Beli 1967 dan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi badan korporat dan denda tidak melebihi RM250,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya, manakala bagi individu pula denda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Katanya, tawaran sifar wang pendahuluan hanya boleh dibuat peniaga jika membabitkan jualan kredit dengan pihak kedai.

 

"Mengikut Akta Sewa Beli 1967, jika kenderaan dibeli secara HPA, syarikat sewa beli (penjual) wajib mengambil wang pendahuluan. Namun jika pembeli melakukan pembelian dengan cara jualan kredit, mereka boleh dikecualikan daripada wang pendahuluan," katanya pada sidang media selepas merasmikan bilik pamera NWP Access, di sini hari ini.

 

Rosol berkata, kementerian itu percaya ramai dalam kalangan pembeli masih tidak jelas mengenai perkara terbabit sekali gus berdepan risiko 'ditipu' syarikat sewa beli.

 

"Kita memandang serius perkara ini dan jika ada syarikat yang menyalahi undang-undang berkenaan, mereka akan dikenakan tindakan tegas. Bagi pembeli, saya berharap mereka yang mahu membeli kenderaan, pastikan dahulu jenis pembiayaan yang ditawarkan," katanya.

 

Rosol berkata, berdasarkan Seksyen 31 (1) Akta Sewa Beli (ASB) 1967, mana-mana penyewa atau pembeli perlu membayar tidak kurang daripada satu persepuluh harga tunai kenderaan yang termaktub dalam perjanjian.

 

 

Ini bermakna, katanya, deposit minimum yang ditetapkan ialah 10 peratus daripada harga tunai kenderaan.

 

"Mana-mana syarikat jual beli yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Sewa Beli 1967. Tawaran sifar wang pendahuluan akan menarik lebih ramai pembeli kerana tidak perlu menyediakan simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kenderaan berkenaan," katanya.

 

Beliau berkata, jika pembeli ditetapkan membayar 10 peratus wang pendahuluan daripada harga kenderaan, ia menunjukkan keupayaan pembeli untuk membayar harga bulanan dan juga mampu mengurangkan komitmen bulanan pembeli.

 

Katanya, selain itu, ia dapat mengelak pembeli disenarai hitam atau diisytihar bankrap akibat kegagalan membuat bayaran tunggakan disebabkan bayaran bulanan yang tinggi.

 

Pada majlis itu, NWP turut menawarkan pembelian 10,000 motosikal tanpa wang pendahuluan menerusi jualan kredit kepada golongan B40 bagi membantu meringankan bebanan mereka terutama ketika ekonomi negara tidak menentu ekoran ancaman pandemik COVID-19.

 

Rosol berkata, inisiatif NWP menawarkan pembelian motosikal berkenaan dilihat sebagai langkah baik bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang terjejas akibat dibuang kerja atau menganggur ketika ini.

 

"Tawaran ini membolehkan mereka yang terjejas memiliki motosikal bagi bekerja sebagai penghantar makanan atau lain-lain pekerjaan tanpa bebanan menyediakan wang pendahuluan untuk membeli kenderaan berkenaan.

 

"Ini satu usaha baik dan sejajar dengan inisiatif KPDNHEP yang menggalakkan usahawan supaya lebih kreatif bagi menjana ekonomi terutama dalam tempoh pandemik ini," katanya.

 

Pada masa sama, Rosol juga turut menggalakkan penggunaan transaksi digital dan elektronik dalam perjanjian sewa beli serta jualan kredit yang dapat memudahkan pembeli motosikal atau kenderaan bermotor serta syarikat penjual kenderaan.

 

"Langkah ini amat digalakkan ke arah mendidik komuniti peniaga dan pengguna ke arah urus niaga digitalisasi," katanya.

 

 

motor

Berita Harian