KPDNHEP tumpas kegiatan seleweng diesel, rampasan bernilai lebih RM90k

oleh Mohamad Hanif|
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor haram di Jalan Jambu, Kampung Baru Sungai Nipah, Port Dickson hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan Abd Muis Samsudin berkata menerusi serbuan pada 1.15 tengah hari tadi, pihaknya menyita 15,000 liter minyak diesel, merampas dua lori tangki serta peralatan digunakan bagi kerja pemindahan diesel dengan keseluruhan rampasan bernilai RM92,250.

Beliau berkata semasa serbuan, terdapat dua lori tangki berada di pekarangan kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan dan pihaknya menemukan hos bagi kerja pemindahan minyak diesel dari tangki lori berkenaan.

“Tindakan kes ini hasil maklumat risikan dijalankan selama seminggu yang mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel dari stesen minyak oleh lori tangki berkenaan dan disyaki berlaku aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi sasaran serbuan.

“Premis itu tidak mempunyai lesen sah atau dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan bagi menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel. Tiada suspek atau individu bertanggungjawab di tempat kejadian semasa serbuan dijalankan dan stor berkenaan telah beroperasi sebagai tempat penyimpanan kira-kira enam bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abd Muis berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya terus menjalankan pemantauan dan pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang menerusi portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan WhatsApp di talian 019-279 4317.

Sumber: Bernama