"Kita menerima banyak aduan mengenai industri bengkel. Jadi kita bercadang untuk mendaftarkan mereka agar kita mempunyai data berkaitan pemain industri.
"Menerusi cara itu, kita dapat mengenal pasti sebarang masalah yang berlaku termasuk isu tuntutan, pembaikan dan barang ganti," katanya ketika menerima kunjungan Penaung Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Datuk Jawahar Ali Taib Khan dan Presiden PPMM Che Hassan Che Johan di pejabatnya.
Rosol berkata, dengan adanya data itu, kementeriannya dapat memastikan pengusaha bengkel menjaga kebersihan premis serta tidak membuang minyak terpakai sesuka hati.
Katanya, ia secara tidak langsung akan meningkatkan standard perkhidmatan bengkel di negara ini dan memberi manfaat kepada pengguna serta pengusaha.
Ditanya mengenai kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pengguna dengan kementeriannya, Rosol berkata, KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama sebegitu bagi memastikan pengguna mempunyai saluran membuat aduan.
Katanya, ia adalah platform tambahan selain ruang yang disediakan kementerian untuk memudahkan masyarakat.
"Saya berterima kasih dengan kerjasama baik daripada NGO. Yang penting kita bersama-sama memartabatkan pengguna," katanya.