KPDN sasar bentang usul atau pindaan berkaitan Lemon Law pada Mac 2025

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan untuk membentang usul atau meminda akta baharu berkaitan 'Lemon Law' seawal Mac tahun depan di Parlimen.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata sehubungan itu, pihaknya telah melantik sekumpulan pakar perunding untuk menjalankan kajian perundangan berkaitan Lemon Law dalam usaha mewujudkan kerangka perundangan perlindungan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.

Beliau berkata kumpulan itu, yang terdiri daripada pakar perundangan, akan menyediakan laporan pelaksanaan kajian amalan terbaik di beberapa negara dan mengadakan siri libat urus dengan pihak berkaitan.

"Mereka akan memulakan kerja dari Jun hingga penghujung September ini dan selepas itu, mereka akan mengemukakan laporan komprehensif untuk dibentang kepada kementerian.

"Laporan itu akan menjadi asas kepada pertimbangan bagi kementerian dapatkan keputusan dasar sama ada perlu wujud satu akta khusus bagi Lemon Law atau kita laksanakan pindaan kepada akta sedia ada," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 pada Selasa.

Lemon Law ialah undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

Armizan berkata terdapat empat undang-undang di Malaysia yang bercirikan Lemon Law seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967.

Beliau berkata KPDN akan membuat keputusan berdasarkan laporan pakar perunding terbabit dan jika dipersetujui di peringkat kementerian, proses seterusnya ialah membawanya untuk penilaian impak kawal selia.

"Sekiranya semua telah dipersetujui termasuk Jemaah Menteri, kita akan bawa ke proses sama ada pindaan atau akta baharu di Parlimen yang disasar seawal Mac 2025," katanya.

Beliau juga berkata sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamad, KPDN akan melaksanakan dua strategi interim pendayaupayaan perlindungan pengguna iaitu penubuhan pasukan rundingan khas berkaitan aduan kenderaan bermotor di KPDN dan pengukuhan proses Tirbunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Armizan berkata kaedah rundingan yang akan digunakan ialah tiga pihak iaitu antara kementerian, pembeli kereta dan pengedar atau pengilang.

Antara syarat dan kriteria pelaksanaan rundingan khas dalam terma rujukan itu ialah kenderaan persendirian baharu berusia tidak melebihi enam bulan dari tarikh pendaftaran dan masih dalam tempoh waranti yang sah sepanjang tempoh kelayakan rundingan serta tidak dimodifikasi.

Beliau berkata mekanisme aduan bagi pengguna yang berdepan isu kenderaan baharu tidak memenuhi standard kualiti dan prestasi serta tuntutan awal dengan pemain industri kurang berjaya selain tidak dapat diselesaikan ialah mengemukakan aduan kepada KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan.

Armizan berkata KPDN pada masa sama sedang dalam proses mendapatkan kerjasama BNM supaya satu penyelarasan dan penyeragaman berkaitan surat persetujuan dibuat antara institusi perbankan atau kewangan bagi membolehkan pengguna mengemukakan tuntutan tebus rugi di TTPM atau mahkamah.

Beliau berkata ketika ini, antara kekangan yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan surat persetujuan daripada bank atau institusi kewangan susulan isu pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 atau Akta 212.

"Tafsiran pemilikan kenderaan di bawah Akta 212 adalah pemilik kenderaan merupakan bank atau institusi kewangan dan penyewa kenderaan pula merupakan pengguna dan hak milik kenderaan hanya akan diserahkan kepada pengguna apabila selesai pembayaran.

"Maka strategi kedua ini dijangka membantu para pengguna menyelesaikan tuntutan mereka di TTPM dengan jayanya," kata beliau.

Armizan juga berkata kedua-dua strategi interim adalah intervensi oleh kerajaan bagi membantu pengguna apabila tuntutan awal dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan.

"Sehubungan itu, kerajaan amat berharap serta berbesar hati sekiranya pemain industri terutama industri automatif bersedia untuk menyahut hasrat kerajaan selain sedia bekerjasama melindungi hak pengguna serta memupuk pasaran yang adil dan telus," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Armizan berkata walaupun sudah wujud Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) yang melindungi hak…
Berita Domestik
Maaflah sebab Dewan Bahasa Dan Pustaka dan Perdana Menteri kita masih tiada lagi perkataan khusus…
Berita Domestik
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata undang-undang sebegitu akan memberi…