Kos servis Bugatti Chiron Pur Sport di Malaysia - bermula dari RM1.612 juta untuk tempoh 4 tahun!

oleh Mohamad Hanif|
Bugatti Chiron Pur Sport merupakan salah sebuah daripada varian-varian Chiron yang telah dilancarkan pada tahun lalu.

Dengan unit penghasilan yang terhad, dan harga jualan mencecah €3.2 juta atau RM15.71 juta di Eropah, usah berharap kos penyelenggaraan Chiron Pur Sport ini semurah kos penyelenggaran Myvi.

Menurut hantaran di FB Muhammad Al Qawi Zamani, beliau berjaya mendapatkan kos sebenar untuk servis dan penyelenggaraan sebuah Bugatti Chiron Pur Sport ketika menziarahi Bugatti Singapura baru-baru ini.

Berikut merupakan pecahan kos yang perlu anda tahu untuk sebuah Bugatti Chiron Pur Sport:
 

Chiron


Pakej servis setiap 14 bulan atau 16,000 km ini merangkumi penukaran minyak pelincir jenis Castrol Edge Fluid Titanium Technology SAE 10W-60, penapis minyak, coolant, serta 16 unit palam salir dengan kos sekitar RM104,613 sahaja.

Kereta pantas memerlukan brek yang cemerlang, jadi kos untuk menukar rotor brek depan bersaiz 420 mm cuma RM2019,230 sahaja, tidak termasuk kos penukaran pelapik brek depan titanium (RM37,661).

Proses penggantian, penukaran serta pembersihan komponen brek serta melibatkan bendalir brek cuma RM246,886 sahaja.
 

Ciron


Tayar juga memainkan peranan penting, di mana untuk Chiron Pur Sport setiap tayar memiliki jangka hayat sekitar 16 hingga 18 bulan sahaja, bukan macam tayar kereta biasa yang anda pakai sampai botak itu.

Saiz tayar Chiron Pur Sport bermula dari 285/30R20 untuk depan, dan 355/25R21 untuk tayar belakang.

Terdapat beberapa pilihan seperti:

  • Pemanduan selesa bermula dari RM33,476 setiap set - Pirelli Winter Sottozero 3 / Michelin Pilot Sport PAX / Michelin Pilot Sport Cup 2 XL
  • Pemanduan kelajuan tinggi bermula dari RM175,749 per set - Michelin Pilot Sport Cup 2R TR

 

Bugatti


Selain itu, komponen lain yang perlu diberikan perhatian adalah seperti:

  • unit pengecas turbo Garret (X4), jangka hayat 42-48 bulan - RM108,797
  • tangki bahan api, jangka hayat 48 bulan - RM184,118
  • cat (bergantung kepada pemilihan, opsyen) - RM230,963
  • kalibrasi enjin - RM119,677
  • cermin hadapan - RM251,070
  • penyeka kaca - RM15,902

Menurut Al Qawi lagi, secara keseluruhan kos servis dan penyelenggaraan untuk tempoh empat tahun pemilikan berharga RM1.612 juta tidak termasuk cukai, kos buruh, kos temu janji dan sebagainya, sementara kos penyelenggaraan setiap 14 bulan pula adalah sekitar RM439,373.

Setiap proses penyelenggaraan dan servis kereta Bugatti dilakukan oleh sepasukan kecil yang terdiri daripada 10 orang pakar terlatih di peringkat global, di mana mereka akan bersiap sedia ke mana jua untuk memberikan khidmat menjaga kereta Bugatti anda.

 

Sumber: FB Muhammad Al Qawi Zamani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketika sesi pengenalan Proton Persona 2019, Proton turut menitikberatkan soal kos penyelenggaraan…